Friday 15 April 2016

Jalinan Masyarakat: Kutipan Dana #1

Kredit foto: Pautan

Bismillah. Assalamu `alaykum warahmatullah.

Alhamdulillah, aturcara Jalinan Masyarakat bagi kami, mahasiswa SMPIS/TM Gen-12 telah pun dimuktamadkan (rujuk sini). Sebanyak lima siri aktiviti akan dijalankan secara berkala dan ketetapan maklumat adalah seperti berikut:-

---

Gotong-Royong Masjid Siri 1
16 April 2016 (Sabtu)
Masjid Tun Abdul Aziz (Masjid Bulat), Petaling Jaya

Gotong-Royong Masjid Siri 2
23 April 2016 (Sabtu)
Masjid Arrahman, Kuala Lumpur

Ziarah Rumah Anak Yatim
7 Mei 2016 (Sabtu)
Pusat Jagaan Rumah Kesayangan (RUKESA), Seksyen 3, Petaling Jaya

Bantuan Gelandangan 1.0
8 Mei 2016 (Ahad)
Kampung Baru, Kuala Lumpur

Bantuan Gelandangan 2.0
10 Mei 2016 (Selasa)
Masjid Jamek, Kuala Lumpur

---

Wah, tak sabarnya nak mulakan jalinan! Wohoo!

Kredit foto: Pautan

Emm tapi, sebelum itu...

Kami perlu mendapatkan dana dan tajaan secukup rasa bagi menggerakkan JM dengan penuh bergaya dan efisien memandangkan anggaran minimum belanjawan yang perlu kami kumpul berdasarkan KKP ialah RM3595.

Uish, banyak tu! Jadi, dari mana kami bisa memperoleh wang sebanyak itu dengan cara yang halal lagi baik? Haaa...

Alhamdulillah, divisi dana dan tajaan JM yang dikepalai oleh saudara Ahmad Nawawi telah sepakat untuk menggerakkan suatu kutipan dana atau kami sebutkannya dalam bahasa Inggeris sebagai "donation drive" bagi menampakkan betapa gahnya aktiviti ini, hiks. Kutipan dana yang dirancang ini bukan sebarangan kutipan dana, bukan juga kutipan dana yang klise, yang selalu kita lihat di luar sana, orang memegang tabung di sudut jalan sambil menunjukkan surat sebagai pengesahan. Bukan, bukan seperti itu! Kutipan dana yang kami lancarkan ini ialah... Haaa, mari sama-sama kita baca kisah perjalanan seharian kami di bawah ini!

2 April 2016 (Sabtu)

Alkisahnya, tarikh di atas ialah tarikh yang telah dipersetujui oleh semua ahli jemaah SMPIS/TM Gen-12 untuk menjalankan kutipan derma siri pertama. Ya, siri yang pertama kerana selepas ini akan diadakan lagi kutipan derma untuk siri yang kedua dan mungkin seterusnya. Tempat yang menjadi pilihan jantung hati dan jiwa untuk menggerakkan usaha ini ialah Taman Paramount, Petaling Jaya.

Jadi, divisi dana dan tajaan telah membentuk empat buah kumpulan bagi melicinkan lagi proses kutipan derma ini. Hanya 22 daripada 29 orang ahli SMPIS/TM Gen-12 sahaja yang terlibat memandangkan enam orang yang lain (termasuk Pengarah JM kami) mempunyai hal lain yang tidak dapat dielakkan. 22 orang yang bertuah tersebut ialah:

Kumpulan 1
- Sulaiman
- Intan
- Dariyah
- Farhana
- Syazwani
- Fatin

Kumpulan 2
- Muhaimin
- Iskandar
- Raihan
- Afiqah
- Najihah

Kumpulan 3
- Nawawi
- Hussin
- Ain
- Hanisah
- Aqilah

Kumpulan 4
- Ikhwan
- Firdaus
- Aqila
- Hanani
- Farhin
- Najwa

Kami diperingatkan pada malam sebelum hari kejadian untuk mengenakan baju biru sebagai tema pakaian bagi hari esok dan juga membawa barang keperluan yang lain seperti kad matrik, KKP, surat sokongan, resit, air minuman, dan topi 'cap' / payung.

Sekejap, kenapa kami perlu bawa semua barangan ini? Ya, inilah dia, donation drive kami! Kami perlu pergi ke setiap rumah yang ada di Taman Paramount pada hari kejadian dan melakukan kesemua perkara berikut:-

  1. Perkenalkan diri - mahasiswa tahun satu program SGPI UM.
  2. Beritahu tujuan kedatangan - hendak memohon sumbangan bagi program JM.
  3. Terangkan aktiviti JM yang akan dijalankan, tunjuk KKP, surat sokongan, dll.
  4. Tanya kepada tuan rumah jika ada apa-apa pekerjaan yang hendak diberikan kepada kami yang boleh kami tolong / beri khidmat kepadanya.
Ya, kami hadir bukan sekadar menebalkan muka bagi memohon sumbangan dana atau derma sahaja, tetapi kami juga menawarkan diri untuk memberikan khidmat yang sewajarnya kepada tuan rumah sebelum kami bisa menggenggam sejumlah kertas not di dalam tangan kami. Ini baru betul-betul JM, sudah ada JM tidak rasmi sebelum ada JM rasmi.

Maka, tibalah hari yang dimaksudkan.

.
..
...

Gerabak transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya memecut deras membelah arus udara pada pagi Sabtu yang hening itu. Kelihatan 22 orang ahli "The 12th Legendaries" masing-masing teruja benar bagi memulakan misi pertama kutipan dana. Alhamdulillah, kurang lima minit setelah bergerak dari Stesen KL GATEWAY-Universiti, kami tiba di Stesen Taman Paramount tepat jam 9.57 pagi.



Sebelum memulakan misi, kami berkumpul terlebih dahulu bagi mendengar sedikit taklimat daripada wakil Divisi Dana dan Tajaan, Nur Farhin Nabila.





Dah puas dengar taklimat? Ayuh kita mulakan misi sekarang!

Jadi, kami pun berpecah mengikut kumpulan masing-masing dan bergerak mengikut haluan yang berbeza sambil ditemani cahaya mentari yang terik menyinari. Kediaman-kediaman sang penghuni kota raya didekati, ditanya khabar, dan dimohon pekerjaan untuk perolehan dana.

Mari kita sama-sama telusuri sebahagian gelagat kami yang sempat dirakam pada hari kejadian!

Kumpulan 1 (Sulaiman)






Dok bergambar je bebudak ni, hoho.

Sempat lagi 'posing' masa orang buat kerja.

Cuci kereta!

Gulung paip!

Sapu sampah!


Kumpulan 2 (Muhaimin)


Berehat sebentar melepaskan lelah mencari rumah.


Apa agaknya yang dibualkan itu?

Kutip dedaun kering, gunting pokok, cuci longkang~


Angkat tangan sikit, pergh!

Kumpulan 3 (Nawawi)


Tak ada gambar lain, ini je yang ada. Sedih, kan? >_<

Kumpulan 4 (Ikhwan)










Elok-elok cuci tingkap tu, kak.


Pekebun yang berjaya.

Begitulah serba sedikit aktiviti kami pada hari itu. Haaa, nampak kan bagaimana 'donation drive' kami ini berjalan? Alhamdulillah, penat lelah kami pada hari tersebut berbaloi dengan berjaya memperoleh kutipan dana sebanyak RM850 buat menampung program JM kami. Tahniah dan terima kasih atas kerjasama semua! *tepuk sikit*

---

Ahmad Muhaimin bin Ahmad Safaruddin
Divisi Multimedia dan Publisiti,
ASIS On Charity 2016.
Read More »

Sunday 10 April 2016

Jalinan Masyarakat: Pratonton #3

Kredit foto: Pautan

9 Mac 2016 (Rabu)

Perjumpaan para warga SMPIS/TM Gen-12 bagi perbincangan JM diadakan lagi untuk kali yang ketiga. Masa dan tempat perjumpaan adalah seperti perjumpaan kali pertama (rujuk sini) - 5.15 petang di anjung surau APIUM. Sememangnya masa dan tempat yang ditetapkan ini sering menjadi kegemaran khususnya bagi para penuntut APIUM untuk bermesyuarat dan memerah otak. Mudah, pantas, dan selesa katanya.

Pada malam sebelumnya, setiap seorang daripada kami telah ditetapkan divisi masing-masing untuk menjalankan tugasan dengan lebih cekap dan efisien. Butiran secara ringkas adalah seperti berikut:

Divisi Dana dan Tajaan
- Nawawi (Ketua)
- Raihan
- Farhin
- Najihah

Divisi Pengisian dan Aktiviti
- Azmina (Ketua)
- Ain Munirah
- Aqilah Redzuan
- Firdaus

Divisi Pengangkutan dan Perhubungan Luar
- Azfhadli (Ketua)
- Farhana Bajan
- Afiqah Anuar
- Dariyah

Divisi Makanan dan Kebajikan
- Wan Ali (Ketua)
- Syazwani
- Aqila Shabudin
- Hanani
- Hanisah

Divisi Multimedia dan Publisiti
- Ikhwan (Ketua)
- Sulaiman
- Muhaimin
- Athiyah
- Husna

Alhamdulillah, setiap divisi membentangkan pelan perancangan serta skop tugasan dengan begitu baik dan mantap sekali. Untuk perjumpaan kali ini, tiada gambar yang sempat dirakam (Pembetulan: bukan tidak sempat, tapi malas, keh keh). Jadi, kami daripada pihak Divisi Multimedia memohon beribu-ribu kemaafan atas kemalasan ini.

Nah, abang belanja gambar.

11-17 Mac 2016 (Jumaat-Khamis)

Ok, bahagian ini merupakan episod yang paling panjang, paling memilukan, serta paling menyakitkan, tetapi paling menarik dan paling kelakar (mungkin) untuk disaksikan oleh seluruh penduduk alam semesta jika dikenang kembali. *555*

Hari-hari di atas boleh dikatakan sebagai antara tujuh hari yang penuh dengan keserabutan, khususnya dalam kamus kehidupan warga SMPIS/TM Gen-12. Pelbagai cetusan idea, luahan emosi, serta letupan jiwa berlaku dalam tempoh tersebut. Mana tidaknya, bermacam-macam perubahan dan program berlaku dalam minggu yang penuh dengan kesibukan (atau acah-acah sibuk) itu. Tetapi bagi penulis, tiada apa-apa yang perlu diserabutkan kerana penulis sentiasa meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Allah selaku Tuhan yang Maha Menentukan serta kepercayaan kepada para Majlis Tertinggi (MT) JM bagi membuat segala keputusan berkaitan JM ini. Malahan, penulis juga sentiasa menyanyikan lagu "All Izz Well" daripada filem 3 Idiots yang pernah pecah panggung suatu ketika dahulu bagi meredakan segala ketegangan. *halamak, poyonya budak ini*

Segala-galanya bermula pada 11 Mac 2016 yang lalu dengan cadangan seorang mahasiswi kami yang hendak mengubah pelan asal JM. Daripada program dua hari satu malam kem motivasi serta dua kali aktiviti bantuan gelandangan kepada lima kali aktiviti bantuan gelandangan sahaja secara berturut-turut dengan alasannya yang tersendiri. Penulis sudah semestinya tidak bersetuju dengan penukaran ini. "Bapak ah, bosan gila aktiviti JM buat 5x homeless je? Bila nak tambah pengalaman hidup? Bila nak cabar diri dengan buat benda baru lain?" getus penulis di dalam hati (Amboi, dia! Sembang bukan main).

Dalam kumpulan WhatsApp kami, penulis bersama-sama lapan orang sahabat yang lain menyatakan ketidaksetujuan kami terhadap penukaran konsep aktiviti JM tersebut. Antara hujah yang dikemukan oleh geng-tidak-setuju ini (setelah diparafrasakan) ialah:
  • Hujung minggu hendak berehat.
  • Rumah jauh dari kampus.
  • Hendak menambah atau merasai pengalaman baru.
  • Hendak mengendalikan program yang lebih gempak daripada bantuan gelandangan.
  • Lima kali bantuan gelandangan adalah memenatkan.
  • Pergerakan pada malam hari adalah sukar dan terhad. Kenderaan awam tidak beroperasi 24 jam. Penggunaan kereta sewa adalah lebih bahaya kerana melibatkan pemanduan di kawasan bandar raya.
  • Pentingnya mencari tajaan dan dana bagi menggerakkan program.

Kami mencadangkan program alternatif sebagai bantahan terhadap program lima kali bantuan gelandangan. Antara cadangan aturcara tersebut:
  • Lawatan ke rumah orang tua.
  • Lawatan ke rumah anak yatim.
  • Edaran makanan percuma kepada mahasiswa UM.
  • Gotong-royong.
  • Buat aktiviti / berkolaborasi dengan pihak masjid.
  • Edaran risalah / lembaran iklan mempromosikan SGPI kepada sekolah-sekolah sekitar Lembah Klang.
  • Tetap dengan program motivasi.

Walau bagaimanapun, hakikatnya majoriti daripada kalangan kami, iaitu seramai 17 orang bersetuju untuk dijalankan program bantuan gelandangan secara berkala tersebut. Masalah utama yang dikemukakan sudah tentu sumber kewangan yang terhad selain beberapa faktor sampingan lain yang penulis sendiri tidak dapat mengagak mengapa kebanyakan daripada mereka bersetuju walaupun pada hemat penulis adalah sangat membosankan untuk menjalankan JM dengan aktivitinya sekadar bantuan gelandangan sahaja. Lima kali pula itu, aiyo. Namun begitu, wujud juga tiga orang dalam organisasi kami yang hanya sekadar 'duduk di atas pagar', tidak menyatakan persetujuan dan tidak pula membangkang. Jangan bilang mereka golongan Murji'ah pula. *eh*

Maka, berlakulah perselisihan faham dan perbuatan saling membalas penulisan antara kami dalam kumpulan WhatsApp yang sangat berbahagia itu. Seperti biasa, penulis tetap cool saja dengan 'gocoh-gocoh manja' yang melanda aplikasi permesejan itu. Begitulah lumrah alam, penulisan seseorang mudah saja untuk disalahtafsirkan oleh orang lain, bergantung pada cara, situasi, dan emosi orang yang membaca sesuatu penulisan itu. Jika gaya membacanya positif, positiflah natijahnya. Begitu juga sebaliknya. Namun, tidak kurang ada juga yang menjadi batu api, mengadakan mesyuarat selepas mesyuarat, dan lain-lain.

Kredit foto: Pautan

Akhirnya, pada awal pagi 16 Mac 2016, tepat jam 1.02 pagi, Pengarah JM kami mula mengeluarkan perutusan khas yang berbunyi seperti berikut:

"[UPDATE TERKINI JM]

1. Keputusan muktamad, kita akan adakan program berkala 5 kali.

2. Setelah dipertimbangkan pelbagai sebab dan faktor, 'homeless' ialah aktiviti muktamad, cuma belum ditetapkan beberapa kali. Disebabkan itu, minta korang undi 2 kali seorang untuk aktiviti lain. Mana-mana aktiviti yang majoriti akan dipilih. Fikir dulu baru undi.

3. Cadangan perincian aktiviti:
- gotong-royong masjid
- ziarah rumah anak yatim
- ziarah rumah orang tua
- beri makanan kepada pelajar UM

ATTENTION!!

Undian di atas adalah yang terakhir daripada korang. So, think wisely before pilih yang mana patut. Jangan menyesal. Boleh sangat MT sahaja yang tetapkan nak pergi mana, cuma kalau boleh nak rai pendapat semua orang sebab kita hidup dalam satu kumpulan. Keputusan biar sama-sama. Walaupun aktiviti yang dicadangkan ini mungkin tidak seberapa gempak di mata semua orang, cukuplah ia gempak di mata Allah. Mana yang mudah, kita mudahkan. Terima kasih sebab bagi kerjasama."

"Alhamdulillah, Masya-Allah, Masya-Allah...," entah kenapa penulis berzikir panjang selepas membaca nukilan tersebut. Rasa kepuasan dan rasa syukur jelas terasa, terutama sekali apabila program lima kali bantuan gelandangan dibatalkan (wakaka) serta suara rakyat bawahan didengari dan diambil tindakan sewajarnya oleh pihak atasan. Syukur kepada-Mu, ya Tuhan...

Diringkaskan cerita, setelah undian dilaksanakan, maka keputusannya jatuh kepada aktiviti bantuan gelandangan, gotong-royong masjid, dan ziarah rumah anak yatim. Ewah!

Lalu, perjumpaan JM buat kali keempat diadakan pada 17 Mac 2016, jam 5.00 petang bertempat di lokasi biasa (surau APIUM) dengan agenda seperti di bawah:
  • Pemuktamadan (finalise) aktiviti.
  • Pemuktamadan tugasan setiap divisi.
  • Pemuktamadan belanjawan setiap divisi.
  • Penyelesaian apa-apa yang patut.
  • Hal-hal yang berbangkit.


Perjumpaan mengejut ini terpaksa diadakan berikutan kami perlu segera menyiapkan Kertas Kerja Projek (KKP) Asis On Charity 2016 untuk dihantar kepada Dr Madiha pada keesokan harinya (18 Mac 2016). KKP tersebut memerlukan pengesahan dan kelulusan segera agar carian dana dan tajaan dapat bergerak sesegera mungkin. Dukacitanya, penulis tidak dapat menghadirkan diri kerana terpaksa mengendalikan persiapan untuk Pertandingan Nasyid IPT anjuran Persatuan Mahasiswa Selangor (PERMAS) UM di Auditorium Kompleks Perdanasiswa (KPS) pada malam itu. Walau bagaimanapun, pihak divisi multimedia berjaya mengadakan perbincangan dengan baik tanpa kehadiran penulis di sisi. *kah*

18 Mac 2016 (Jumaat)

Fuh, panjang sudah rasanya makalah kali ini. Jadi, pada hari ini, kami pun mengadakan perjumpaan bersama penyelaras JM sekali lagi, iaitu Dr Madiha bertempat di BS12 pada jam 11.00 pagi. Dengan berakhirnya perjumpaan ini, maka berakhirlah kemelut aktiviti JM kami pada kali ini. Kita sudahi penulisan dan pembacaan pratonton JM kita dengan bacaan Kaffarah al-Majlis dan Surah al-`Asr :)

--- Tamat Pratonton JM ---

Ahmad Muhaimin bin Ahmad Safaruddin
Divisi Multimedia dan Publisiti,
ASIS On Charity 2016.
Read More »

Saturday 9 April 2016

Jalinan Masyarakat: Pratonton #2

Kredit foto: Pautan

1 Mac 2016 (Selasa)

Siang berganti malam. Malam dilitupi siang. Pejam celik, pejam celik, sudah enam hari berlalu dari hari taklimat JM di DKU APIUM disyarahkan (rujuk sini). Sembang-sembang serta diskusi mengenai aktiviti dan program JM untuk jabatan kami hanya berdegar-degar di dalam aplikasi mesej popular WhatsApp, namun tiada sebarang keputusan rasmi dibuat.

Akhirnya, tepat jam 12.31 tengah hari, Presiden SMPIS/TM Gen-12 mengeluarkan kata perintah. Telefon pun bergetar tanda mesej baru WhatsApp menyusup masuk.

"PERJUMPAAN BERSAMA DR MADIHA (PENYELARAS SGPI) UNTUK PERBINCANGAN JALINAN MASYARAKAT SEBAGAIMANA BERIKUT:

Tarikh: 4/3/2016
Hari: JUMAAT
Masa: 11.00 pagi
Tempat: BS12
Sasaran: SEMUA PELAJAR ASIS TAHUN 1

Sehubungan dengan itu, SATU PERJUMPAAN akan diadakan di anjung surau API:

Tarikh: 3/3/2016
Hari: Khamis
Masa: 5.15 petang
Agenda: Perbincangan mengenai JM

Diharapkan SEMUA PELAJAR TAHUN 1 ASIS MENGHADIRKAN DIRI PADA KEDUA-DUA PERJUMPAAN.

SEKIAN, TERIMA KASIH."

Wah, akhirnya perjumpaan pertama SMPIS/TM Gen-12 berkaitan JM bakal berjalan! *bling bling*

3 Mac 2016 (Khamis)

Hari yang dinanti-nanti telah tiba. Kami pun berkumpul di anjung surau APIUM selepas waktu Asar bagi memulakan sesi perbincangan mengenai aktiviti JM kami.






Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan begitu lancar. Antara agenda yang telah dibincang secara bersama ialah watikah pelantikan jawatankuasa tertinggi JM, cadangan aturcara dan pemilihan lokasi yang berpotensi, serta lain-lain hal yang berbangkit. Pohon doa daripada semua pembaca dan sahabat agar program JM kami menepati matlamat yang ditetapkan, Insya-Allah. Pertemuan berakhir kira-kira jam 6.45 petang.

Berikut merupakan jawatankuasa program JM kami yang diberi nama "Asis On Charity 2016":
  • Penyelaras: Dr Madiha binti Baharuddin
  • Pengarah: Fatin Rabiatul Adawiyah binti Muhammad
  • Timbalan Pengarah: Muhammad Hussin bin Abdul Jabar
  • Setiausaha: Nadzifatun Najwa binti Jamalludin
  • Timbalan Setiausaha: Hafiz Iskandar bin Zainal
  • Naib Setiausaha:
    • Nor Shuhadah Saliah binti Suaimi
    • Intan Norhijrah binti Mohd Rasedi
  • Bendahari: Fatin Nabiha binti Kamaruddin

Disebabkan istilah "unit", "biro", dan "exco" sudah terlalu klise, maka kami telah menggunakan istilah baru yang diberi nama "divisi", yeah!

  • Ketua Divisi Dana dan Tajaan: Ahmad Nawawi bin Nawai
  • Ketua Divisi Pengisian dan Aktiviti: Nur Azmina binti Azlin
  • Ketua Divisi Pengangkutan dan Perhubungan Luar: Azfhadli bin Alibediri
  • Ketua Divisi Makanan dan Kebajikan: Wan Ali Abbas bin Wan Mustafa Kamal
  • Ketua Divisi Multimedia dan Publisiti: Muhammad Khairul Ikhwan bin Talib

4 Mac 2016 (Jumaat)

11.00 pagi di Bilik Seminar 12. Dr Madiha binti Baharuddin selaku penyelaras telah bersiap sedia menunggu kami di situ bagi mengadakan pertemuan pertama berkaitan JM bersama kami. Mohon maaf kerana penulis tidak berapa ingat tentang topik perbincangan yang telah dikemukakan. *keh keh* Jangan risau, penulis sempat mengambil gambar di bawah sebagai rumusan perbincangan. Lebih kepada ulangan semula taklimat pada minggu lepas sahaja, tetapi lebih khusus dan terperinci:

Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas

Insya-Allah, nantikan sambungan kisah kami dalam pos yang akan datang :)

---

Ahmad Muhaimin bin Ahmad Safaruddin
Divisi Multimedia dan Publisiti,
ASIS On Charity 2016.
Read More »