Thursday, 22 August 2013

3 Important Questions!

Perlu kita perhatikan tiga persoalan asas yang berkaitan dengan seluruh kehidupan kita. Persoalan-persoalan tersebut ialah:

1.    Dari manakah kita datang?
2.    Mengapakah kita didatangkan?
3.    Kemanakah kesudahan kita?

Untuk mencari jawapan-jawapan yang tepat maka perlulah kita merujuk kepada apa telah dinyatakan oleh Allah S.W.T. di dalam al-Quran al-Karim.

Persoalan Pertama
Dari mana kita datang?




Jawapannya kita dapati dari Firman Allah S.W.T.:
“Wahai sekelian manusia! Jika kamu masih ragu-ragu terhadap hari qiamat sesungguhnya Kami (Allah S.W.T.) telah jadikan kamu dari tanah,kemudian daripada air mani dan mani menjadi darah sampai ia menjadi sepotong daging yang telah sempurna kejadiannya dan yang belum sempurna, supaya Kami beri keterangan kepada kamu dan Kami tetapkan di dalam kandungan (rahim)ibu mengikut kehendak Kami, sampailah waktu tertentu maka Kami keluarkan kamu dari kandungan ibumu menjadi kanak-kanak kemudian sampai kamu menjadiorang dewasa. Di antara kamu ada orang yang dimatikan dan ada yang dipanjangkanhidupnya sampai terlalu tua hingga tidak dapat mengetahui apa-apa sedangkansebelumnya kamu mengetahui.” - Surah al-Hajj: ayat 5.

Dengan meneliti ayat tersebut dapatlah kita ketahui dari manakah datangnya kita dan terjawablah persolan tersebut.

Persoalan Kedua
Mengapa kita didatangkan atau mengapa kita dijadikan oleh Allah S.W.T.?




Jawapan kepada persoalan ini terdapat di dalam Firman Allah S.W.T.:

“Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku.” - Surah az-Zaariyat: ayat 56.

Para ulama’ muktabar telah menghuraikan pengertian ibadah itu dengan panjang lebar yang mana perkataan ibadah ada kesyumulannya (kesempurnaannya) dan mempunyai ruang lingkup yang luas, tidak semata-mata terhad kepada fardhu solat, puasa, zakat dan haji semata-mata, bahkan tugas dan kewajipan kita di dunia ini adalah beribadah dan memperhambakan diri kepada Allah S.W.T. berdasar Firman-Nya tersebut.

Untuk menepati kehendak ibadah dalam seluruh hidup ini maka setiap perbuatan yang kita lakukan itu mestilah semata-mata kerana Allah S.W.T. serta mengikut betul-betul arahan yang telah disampaikan oleh Rasulullah S.A.W..

Jika demikian segala makanan, minuman, pelajaran, pekerjaan, pendidikan jasmani, perkahwinan dan mendidik anak adalah merupakan jalan-jalan yang membantu kita untuk taatkan Allah S.W.T. serta teguh beribadah kepada-Nya. Juga menjadikan kita bertaqarrub (menghampirkan diri) kepada Allah S.W.T.. Ini bermakna rumah, sekolah, kilang, pejabat, sawah ladang, padang permainan, gedung perniagaan dan sebagainya adalah medan      beribadah. Bahkan seluruh bumi Allah S.W.T. ini merupakan ‘masjid’, tempat menunaikan ibadah dalam realiti kehidupan.

Sehubungan dengan itu Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah telah menyatakan bahawa: “Setiap perkara yang telah Allah S.W.T. perintahkan hamba-hamba-Nya melaksanakan adalah dikira sebagai ibadah. Ibadah yang meliputi apa sahaja yang diredhai oleh Allah S.W.T. sama ada tutur kata, perbuatan dan tingkahlaku.”

Prof. Dr. Yusuf Qaradhawi menyatakan di dalam bukunya, al-’Ibadah Fil-Islam, bahawa: “Sesungguhnya beribadah kepada Allah S.W.T. tidaklah terhad kepada mengerjakan solat, puasa, zakat dan haji dan perkara yang berkaitan dengannya seperti tilawah al-Quran, zikir, berdoa, beristighfar dan sebagainya sahaja sebagaimana fahaman sesetengah golongan Islam (yang mendakwa Islam).

Ramai yang telah menyangka bahawa apabila mereka telah menunaikan fardhu-fardhu dan syiar-syiar yang tersebut bererti mereka telah menyempurnakan hak Allah S.W.T. terhadap mereka sepenuhnya. Mereka menyangka sudah selesai ditunaikan kewajipan ‘Ubudiyyah terhadap Allah S.W.T.. Padahal tanggapan tersebut meleset daripada hakikatnya yang sebenar”.

Beliau membuat penjelasan lagi bahawa: “Tidaklah dikira ibadah kepada Allah S.W.T. jika seseorang itu berfahaman: Aku solat, aku berpuasa, aku berzakat dan aku menunaikan haji tetapi aku bebas makan daging babi, minum arak, makan riba, berjudi serta menolak hukum-hukum syariat Allah S.W.T.yang tidak sesuai dengan pandanganku. Juga tidak dikira ibadah kepada AllahS.W.T. bagi orang yang menganggap ibadahnya hanya berada ketika di kawasan masjid, tetapi apabila ia keluar dari masjid dan mencebur diri dalam bidang-bidang kehidupan lain dia menjadi hamba kehendak dirinya, bebas mengikut kehendak hawa nafsunya dengan tidak menghiraukan hukum-hukum Allah S.W.T.”

Oleh kerana itu maka setiap orang yang terkeliru mesti memperbetulkan fahamannnya kembali mengenai Islam dan ibadah kepada Allah S.W.T..

Semoga seluruh kehidupannya berada dalam keredhaan Allah S.W.T.. Cukuplah bagi seseorang Muslim itu berfikir bahawa ia adalah Khalifah Allah S.W.T.di muka bumi ini untuk menjalankan tugas dan arahan Allah S.W.T.serta melaksanakan kewajipan ber’ubudiyyah kepada Allah S.W.T. semata-mata.Memadai ia berbuat demikian untuk mencorakkan segala jenis  amalannya dengan corak Islam hinggalah segala perkataan, perbuatan dan diamnya itu ibadah kepada Allah S.W.T..

Menurut al-Qaradhawi lagi bahawa ibadah itu merangkumi dua tugas besar yang menjadi teras bagi semua perkara yang tersebut sebelum ini. Tugas tersebut ialah:

1.    Menyeru kepada kema’rufan dan mencegah daripada kemunkaran.
2.    Berjihad ke jalan Allah S.W.T..

Menurut huraian asy-Syahid Sayyid Qutb bahawa kerja-kerja menyuruh kepada ma’ruf serta mencegah daripada munkar tidak boleh dipandang ringan.Umat ini tidak berjaya selagi ma’ruf tidak tertegak sebagai ma’ruf dan munkar tidak dimusnahkan sebagai munkar. Untuk melaksanakan tugas yang besar itu maka perlulah kepada pembentukan Ummah. Ummah yang tertegak atas dasar Iman kepada Allah S.W.T. dan Persaudaraan kerana Allah S.W.T. agar hukum-hukum Allah S.W.T. terlaksana, kerja-kerja ma’ruf berjalan dengan senang, kebenaran mengatasi kepalsuan, kebaikan sentiasa disokong dan kemungkaran sentiasa di tentang. Untuk sampai kepada ummah Islam sedemikian maka jihad yang berterusan diperlukan dan mengikuti jalan-jalan yang betul sebagaimana yang telah digariskan oleh Rasulullah S.A.W.

Persoalan Ketiga
Kemanakah kesudahan kita?




Persoalan ini tidak memerlukan huraian yang panjang kerana setiap orang yang menyedari asal-usulnya serta mengetahui tugas kewajipannya, maka InsyaAllah ia akan menyedari pula ke manakah kesudahannya. Walaupun demikian jawapannya tetap telah dinyatakan oleh Allah S.W.T. dalam FirmanNya:

“Sesungguhnya kepada Tuhan (Allah) kesudahan kamu (tempat kembali).Dialah yang membuatkan kamu tertawa dan Dia juga yang membuatkan kamu menangis.Dialah yang mematikan kamu dan menghidupkan kamu kembali.”
- Surah an-Najm: ayat 42-44.


Wallahu A'lam....

Read More »

Monday, 19 August 2013

Universiti – Medan Membina Insani, Bukan Kubang Melempias Nafsu Haiwani !

Di Jordan, melepasi satu peperiksaan yang disebut sebagai taujihi (peringkat menengah seperti SPM di Malaysia) adalah satu kegembiraan yang tidak terkira bagi pelajar-pelajar menengah ini. Lepas peperiksaan ini menandakan mereka sudah berjaya satu langkah awal untuk menuju universiti.
Kegembiraan itu kadangkala disambut dengan budaya-budaya pelik yang agak mengejutkan saya sewal melihat sambutan mereka itu. Apapun, saya rasa tidak perlu saya panjangkan cerita tentang budaya mereka yang dahsyat itu kerana fokus saya lebih kepada menceritakan bagaimana gembiranya mereka selepas mengetahui mereka lulus untuk dapat masuk ke universiti selepas itu.
Di Malaysia sendiri, saya kira dapat masuk ke univesiti itu adalah satu kegembiraan awal bagi seorang ibu dan ayah.
Begitulah alam universiti. Menjadi kegembiraan dan harapan besar bagi sesetengah orang untuk memasukinya. Tetapi, kegembiraan itu tidak harus terhenti di situ saja.
Alam universiti, sesuai dengan namanya, sepatutnya menjadi tempat melahirkan lebih ramai mahasiswa yang berwibawa dan cakna dengan keadaan masyarakatnya, bukan sekadar jadi tempat menyuapkan ilmu apalagi menjadi kubang melepaskan nafsu haiwani !

Mahasiswa, Di Mana Kita?
Saban tahun, tidak sedikit graduan yang keluar daripada institusi-institusi pendidikan tinggi seperti universiti, kolej dan yang sama waktu dengannya. Tidak kiralah daripada jurusan apapun, baik syariah mahupun tidak.
Kita perlu bertanya semula, di mana graduan kita yang ramai ini melata dalam masyarakat di negara kita?
Adakah sijil lulus dari universiti hanya untuk memenuhi permintaan pekerjaan di pasaran atau pun sijil menjadi laku dan terkenal di dalam masyarakat kita?
Kita perlu bertanya, kerana saban tahun majoriti yang keluar menjadi siswazah adalah orang-orang muda, yang berdarah panas, yang sepatutnya penuh dengan cita-cita dan harapan, yang sepatutnya jiwanya penuh dengan keazaman, tetapi adakah keberadaan kita menjadi makna besar di dalam masyarakat? Adakah keberadaan kita memberikan sumbangan ke arah perubahan yang lebih baik dalam masyarakat?
Ataupun kita hanya pergi ke universiti, belajar, menduduki peperiksaan, dan pulang ke kampung halaman hanya untuk duduk mendiamkan diri sahaja? Ataupun kita pergi ke universiti hanya untuk memiliki sijil supaya nanti dapat bekerja dan menyara keluarga kita? Bagaimana dengan masyarakat kita? Bagaimana jiran-jiran yang hidup di sekitar kita? Dapatkah satu sijil kita itu menampung pendidikan dan pembangunan dalam masyarakat kita?
Di mana kita, wahai mahasiswa dalam masyarakat ini?

Kita Buat Apa Di Universiti?
                                        Adakah ini jadual harian seorang mahasiswa? Fikirkanlah.
Persoalan-persoalan ini hanya akan terjawab dengan melihat apa yang kita sedang lakukan di universiti sekarang. Apa yang kita sedang buat di universiti sekarang?
Belajar ? Ambil exam ? Balik kuliah, pergi kuliah? Lepas tu ?
Balik rumah, main game (?), menonton movie (?), lepas tu apalagi?
Saya tidak katakan itu semua satu perkara yang salah, tetapi apakah hanya sekadar itu ?
Saya mendapat respon daripada seorang sahabat saya di sebuah universiti Islam di Malaysia tentang peliknya seseorang mahasiswa itu jika dia tidak bercouple. Ini satu kehairanan bagi saya kerana pada saya, bercouple itulah yang sepatutnya dipandang sebagai suatu yang pelik.
Bukan sekadar bertentangan dengan larangan Allah yang melarang kita mendekati zina, bahkan ia menghabiskan masa kita pula dengan sia-sia dan kerosakan.
Dukacitanya masa depan sebuah negara dan masyarakat bilamana para pemuda pemudinya yang sepatutnya datang ke universiti untuk membina dirinya, tetapi banyak menghabiskan masa pula dengan dosa dan perkara yang sia-sia. Tidak sekadar hilang keberkatan dalam hidup, bahkan hilang pula sebahagian besar masa untuk pembinaan diri.
Adakah medan universiti benar-benar menjadi medan untuk kita membina diri ataupun kubang tempat melempiaskan nafsu haiwani?
Kerisauan ini, tidak bisa saya diamkan. Saya memikirkan apa yang akan terjadi pada masa depan sebuah negara bernama Malaysia dan masyarakatnya ini dalam 15-20 tahun lagi.
Yang lebih membimbangkan saya adalah apabila terdapat juga segelintir graduan-graduan syariah yang diharapkan untuk memimpin masyarakat dalam hal ehwal agama terlibat dalam krisis dosa dan kerosakan yang mencemarkan wajah Islam. Sudah tentu saya perlu jujur bercakap tentang graduan syariah, kerana saya sendiri adalah salah seorang yang sedang melalui proses mempelajari ilmu-ilmu syariah itu dan saya bergaul dengan ramai pemegang-pemegang sijil syariah.
Saya mohon berlindung daripada Allah s.w.t. daripada terlibat dalam kerosakan-kerosakan yang mencemarkan wajah Islam yang sedang dan akan terus dibawa kerana saya bimbang akan dipersoalkan atas tanggungjawab saya setelah berpeluang mempelajari dan mendalami ilmu ini lebih sedikit daripada orang yang bukan di dalam bidangnya, tetapi tidak bersungguh-sungguh ketika menuntutnya sehingga memberi pengertian Islam yang salah kepada orang ataupun menjadi wajah yang buruk kepada Islam itu sendiri .

Kitalah Masa Depan

Sebab itu, berpuas hati setelah dapat masuk ke universiti tidak sepatutnya menjadi perhentian terakhir kita dalam belajar.
Universiti hanyalah sebuah tempat latihan terbuka untuk kita.
Bagaimana mungkin kita dapat menjadi makna besar dalam masyarakat sekiranya keberadaan kita di universiti hanya untuk pergi balik belajar dan melakukan assignment-assignment yang ditugaskan itu saja?
Pergi balik hanya untuk mendengar kuliah, pulang ke rumah memencil diri dalam bilik, menghabiskan masa dengan game dan movie, malas membaca buku, tidak menjaga ibadah, tidak berdisiplin dengan masa dan pengurusan diri, tidak bersungguh membangunkan diri.
Cukupkah hanya itu saja demi sebuah masa depan menuju pembaikan masyarakat ? Apakah cukup?
Apalagi kalau universiti itu menjadi kubang melempiaskan nafsu haiwani, menjadi tempat tontonan pasangan-pasangan couple bermanis-manisan janji sehidup semati pada pukul 12.00 malam ke atas tanpa mengenal batas sehingga lahir bayi buangan, menjadi kubang melahirkan ramai lelaki lembut dan perempuan yang  menjalin hubungan luar tabii ketika memencil diri di rumah.
Di manakah letaknya masa depan untuk Islam yang sering dicita-citakan itu? Tidak sekadar masa depan, bahkan perlu bertanya juga pada diri kita, apakah masih punya harga diri lagi ketika itu?

Penutup : Membina Fitrah Insani, Bukan Membela Nafsu Haiwani
Hati saya resah beberapa hari ini memikirkan hal ini. Saya tidak dapat mendiamkan kerisauan yang dalam di hati saya memikirkan dan merenungi hal ini.
Hati yang penuh kerisauan biasanya sentiasa timbul pelbagai persoalan dalam benaknya.
Hal ini pastilah tidak semudah menulis artikel ini. Sudah pasti menulis artikel ini tidak akan dapat menyelesaikan masalah ini. Cuma saya sekadar mahu berkongsi kerisauan saya. Saya tahu, ia tidak akan menjadi rawatan kepada masalah ini, tetapi sekurang-kurangnya saya harap dapat mencetuskan rasa risau dalam diri orang lain supaya tidak duduk selesa dan diam saja ketika berada di universiti.
Pergi universiti dalam keadaan selesa, balik selesa, duduk di rumah lebih selesa lagi tanpa memikirkan peranan dan penglibatan mereka secara serius dalam membaiki dan mengubah masyarakat. Ini adalah sikap yang bahaya.
Kita bukan haiwan.
Kita insan.
Hiduplah sebagaimana seorang insan patut hidup.
Hidupnya tidak hanya untuk memuaskan nafsu dan keselesaannya semata-mata, tetapi ada fitrah dalam dirinya yang cintakan kebaikan dan benci melihat kerosakan yang perlu dipenuhi.
Begitulah sepatutnya jiwa seorang mahasiswa patut dibina ketika di alam universiti. Untuk memenuhi fitrah ini, tidak cukup aspek ilmunya saja yang perlu dibentuk, tetapi aspek keimanannya, aspek kemahiran-kemahiran diri dan sebagainya perlu diberikan perhatian yang serius.
Inilah yang sering diabaikan.
Semoga kita dapat bersama dalam menggerakkan arus perubahan dan peningkatan.
Bahawa kita bukan masuk ke universiti untuk menjadi haiwan, tetapi untuk keluar menjadi insan !

Read More »

Wednesday, 31 July 2013

APIDS and BOM

Assalamualaikum..
Bismillahirrahmanirrahim..

Program BOM baru saja melabuhkan tirainya semalam. Alhamdulillah.

Tahniah buat Majmuah 7 yang telah dinobatkan sebagai MAJMUAH TERBAIK dan kepada Majmuah 8 yang diisytiharkan sebagai MAJMUAH HARAPAN.


                                                           Hadiah ^^

Kedua-duanya merupakan warga APIDS. Secara tak langsung, antum telah membuktikan kemampuan APIDS. Namun, jangan kita lupa bahawa yang tertinggi dan terhebat itu adalah Allah SWT.

Tahniah buat warga APIDS, sama ada M7 atau M8 yang telah memenangi mana-mana pertandingan anjuran BOM. Antum telah memberikan kerjasama yang baik dan berusaha untuk menyertai setiap program yang dianjurkan. Alfun mabruk 'alaikum.

Teruskan usaha untuk menjadi yang terbaik dalam kalangan yang terbaik. Umat Islam wajib menjadi yang terbaik kerana tiada yang lebih tinggi dari Islam. Maka, tiada yang lebih terbaik dari seorang Muslim. InsyaAllah..

Akhirulkalam, Ramadhan Kareem, ayuh memburu Lailatul Qadr!

Wallahu'alam,
Wassalam.
Read More »

Sunday, 28 July 2013

Salam 'Aidilfitri~



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Kami warga APIDS95 ingin memohon ampun dan maaf andai pernah terkasar kata,tersilap bicara,dan sebagainya kepada semua sahabat-sahabat yang pernah mengenali diri ini ..

Tidak lupa juga kepada pensyarah-pensyarah yang banyak mengajar kami..Jasamu akan dikenang sampai bila2..hehe..

Tidak lupa juga kepada ibu bapa yang 'JAUH DI MATA,DEKAT DI HATI' kenanglah daku dalam doamu..jangan pernah melupakan kami di perantauan ini..hehe.(yang KELANTAN tak termasuk ek) btw..

SELAMAT MENYAMBUT RAMADAN n SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI!maaf zahir dan batin.😉

Kullu 'Am wa Antum Bikhair. 
Taqabbalallahu Minna wa Minkum.
Minal 'Aidin wal Faizin.

APIDS95 
APIUMNP
Syawal 1434
Read More »

Tuesday, 23 July 2013

AHLAN: Let's Start!

Assalamualaikum~

Bismillahir Rahmanir Rahim :)

Alhamdulillah,
Subhanallah,
Allahuakbar!

Di sini disertakan beberapa gambar sepanjang program AHLAN 1.0.
Semoga segala ilmu yang diperoleh bermanfaat dan menjadi pedoman untuk warga APIDS 95 menjalankan amanah dan meneruskan legasi APIDS di APIUM.

Jutaan terma kasih buat senior2 APIDS 94 yang sanggup meluangkan masa bersama kami. Meninggalkan segala tugasan, assignment di PASUM untuk berkongsi dengan kami di sini.

Seinfinity kemaafan seandainya kami tidak memberikan komitmen yang terbaik dan banyak menyusahkan abang2 dan kakak2 semua. Sorry.. Afwan.. :(

Ok! Masa untuk menatap memori2 lama.. Ia bakal sentiasa tersemat diingatan kita..

Maaf ye kalau ada gambar yang kurang memuaskan antum and antunna semua!

Wallahu'alam,
Wassalam~



                                                                            Post terbaik dari warga APIDS 94/95






                                                                                                  Ikhwah APIDS


                                                                                               Akhowat APIDS




                                                                                        Perkongsian untuk skop kerja exco



Makan bersama dalam talam. Ukhuwah Talam ;)



Read More »

Saturday, 22 June 2013

MISI KITA : 'ALIM MUJAHID

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Alhamdulillah. Subhanallah. Allahuakbar.
Bismillahir Rahmanir Rahim.



Alhamdulillah, hampir genap sebulan kita berada di bumi tarbiyah Nilam Puri ini. Namun, sedarkah kita hakikat sebenar keberadaan kita di alam IPT ini?

Di sini suka untuk ana berkongsi sedikit ilmu yang ana peroleh dari sebuah program yang di khaskan untuk pelajar lepasan SPM sebagai persediaan memasuki dunia menara gading.

*****

Ana pernah disoal dengan soalan cepu mas oleh senior ana.
“ Kenapa kita kena masuk IPT?” Soalnya dengan nada yang memaksa neuron-neuron otak ana untuk tangkas bekerja. Berfikir! Kenapa?
Jawapannya?

Kemudian dia menjawab, “ Kerana IPT adalah medan dakwah!”
Medan dakwah? Ya. Maka, bagi menjadikan IPT medan dakwah, para penuntut IPT perlu menjadi ‘Alim Mujahid. Andai kita tidak memiliki ciri-ciri ‘Alim Mujahid, dakwah yang kita jalankan tidak menunjukkan hasil. Objek dakwah kita juga tidak terkesan dengan seruan dakwah kita. Dan tujuan dakwah itu dijalankan tidak akan tercapai. Dan bolehlah dikatakan bahawa kita bukanlah daie yang diinginkan oleh Islam.



Apa pula ‘Alim Mujahid?
‘Alim ialah orang yang pakar dalam sesuatu bidang dan menjadi pakar rujuk.
Mujahid pula ialah orang yang bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu.

Maka, sebagai pelajar APIDS, 'Alim Mujahid menjadi keutamaan kita kerana kita bakal menguasai 2 bidang ilmu iaitu Deen dan Sains.


 .
Kenapa menjadi ‘Alim Mujahid?
Ya, untuk menjalankan dakwah di IPT. Tetapi ada satu perkara yang paling utama iaitu meraih MARDHOTILLAH!

Apakah pula ciri-ciri ‘Alim Mujahid?
Ciri-cirinya..


Pertama, memiliki AQIDAH yang sohih.



Apa itu AQIDAH? Aqidah ialah keyakinan dan kepercayaan. Sohih pula benar. Maka, kita perlu memiliki keyakinan dan kepercayaan yang benar. Apakah keyakinan dan kepercayaan yang benar? Sudah tentu keyakinan dan keperayaan yang benar kepada Rabb kita iaitu Allah SWT. Kita perlu yakin dan percaya akan KEESAANNYA, yakin dan percaya dengan ajaran-Nya. Mentaati perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Yakin dan percaya kepada 6 Rukun Iman. Kita juga harus yakin dan percaya bahawa sistem hidup yang sebenar adalah ISLAM.

Andai kita tidak memiliki aqidah yang sohih, bagaimana kita ingin melaksanakan dakwah? Cuba bayangkan. Seseorang menyeru orang kepada apa yang tidak diyakininya. Bukankah ianya sesuatu yang pelik dan lucu? Menyuruh orang lain melakukan apa yang tidak dilakukannya. Apakah wajar?

Di dalam buku ‘Apa Erti Saya Menganut Islam’ tulisan Fathi Yakan ada menyenaraikan beberapa ciri-ciri aqidah yang benar. Antaranya ialah, mengimani dan meyakini bahwa pencipta alam sejagat ini ialah Allah yang Maha Bijaksana, Maha Mengetahui dan tidak memerlukan pertolongan orang lain. Saya mestilah mengimani dan meyakini bahawa Allah tidak mencipta alam ini tanpa tujuan atau untuk bermain-main sahaja. Dan terdapat banyak lagi ciri aqidah yang sohih. Lepas ni boleh belek buku tu dan hadamkan.


Kedua, memiliki KEFAHAMAN yang jernih.

Apa itu kefahaman? Ideologi. Apa pula ideologi? Ideologi juga membawa maksud pemikiran. Di dunia ini ada pelbagai jenis pemikiran. Sekularisme, feminisme, komunisme dan banyak lagi. Di dalam agama Islam sendiri banyak aliran pemikiran yang cuba disampaikan kepada umum. Namun, tidak semua pemikiran-pemikiran adalah jernih dan benar. Jadi, memiliki pemikiran yang jernih itu wajib!

Bagaimana dapat kita menilai kekejernihan sesuatu pemikiran atau kefahaman?
Maka rujukan kita adalah al-Qur’an dan as-Sunnah. Andai sesebuah kefahaman itu bertentangan dengan al-Qur’an dan as-Sunnah, maka jelaslah kefahaman itu sesat dan memesongkan.
Pentingnya memiliki pemikiran serta kefahaman yang jelas kerana dalam menjalankan tugas dakwah, kita hendaklah menyeru manusia kepada kebenaran. Menyeru manusia untuk menaikkan syiar Islam. Andai tugas dakwah ini dijalankan di atas paksi kesesatan dan pemesongan, maka tugas dakwah itu juga salah kerana telah menjauhkan manusia dari Rabbnya.


Ketiga, mesti cemerlang dalam AKADEMIK.



Apakah peranan seorang mahasiswa di IPT? Apakah tanggungjawab utama seorang penuntut IPT? Sudah tentu menuntut ilmu, bukan? Maka bolehlah difahami bahawa menuntut ilmu merupakan ‘corebusiness’ seseorang mahasisiwa. Jadi, apabila tujuan utamanya ke IPT adalah menuntut ilmu, maka dia harus menumpukan seluruh perhatian dan fokusnya kepada ilmu atau lebih mudah, AKADEMIK.

Dalam konteks dakwah, para pendakwah digesa untuk memantapkan prestasi akademiknya. Kenapa? Kita tida mahu dengan alasan berdakwah, pelajaran diabaikan. Ini akan menjadi fitnah kepada Islam itu sendiri. Umum akan melihat Islam itu memperkecilkan soal pelajaran, tidak mementingkan ilmu. Walhal, Islam amat menitik beratkan soal ilmu hingga wahyu yang pertama yang diturunkan adalah gesaan agar orang muslim menuntut ilmu, bacalah!



Meskipun menuntut ilmu adalah No. 1 dan menjadi keutamaan di IPT, harus diingat bahawa Tarbiyah bukanlah No. 2! Justeru, tarbiyah dan akademik hendaklah diimbangkan agar tiada yang diutamakan lebih dari yang lain. Maka, kita seharusnya FOKUS ketika berada di IPT. Fokus utama kita ialah mengejar ilmu dan bergiat dalam hal tarbiyah dan dakwah. Kita juga sewajibnya meletakkan target untuk cemerlang dalam kedua-dua aspek, AKADEMIK dan TARBIYAH.


Keempat, aktif berDAKWAH.



Apa itu berdakwah? Berdakwah adalah menyeru manusia kepada Allah. Mengingatkan manusia hakikat atau tujuan kita diciptakan. Berdakwah juga ialah ‘calling people where you are’, dimanakah kita? Kita diatas landasan Islam. Maka, kita ingin memanggil manusia ke landasan Islam juga. Kita juga memanggil manusia untuk bersama-sama menggapai redha-Nya, memasuki syurga-Nya. Ketahuilah, nikmat yang paling berharga adalah Allah sebagai Rabb kita. Justeru nikmat yang beharga itu hendaklah dikongsikan dengan manusia di sekeliling kita patah lagi dengan insan yang kita kasihi dan sayangi.



Kadang-kadang, timbul persoalan dalam diri kita, bagaimanakah caranya untuk kita berdakwah? Antara beberapa perkara yang boleh kita lakukan ialah dengan memanfaatkan kemahiran yang dimiliki. Contoh, seandainya kita mahir melukis, kita berdakwah dengan manghasilkan komik islamik atau sebagainya. Jika kita mahir dalam menulis, kita salurkan dalam bentuk penulisan blog atau berkongsi status di FB. Andai kita dikenali sebagai insan yang mesra, maka kita boleh menjalinkan ikatan sosial yang lebih meluas dan sebarkan kebaikan kepada insan yang kita kenali.

Kita juga boleh berdakwah dalam konteks memberi contoh dan qudwah. Hakikatnya, dakwah yang paling berkesan adalah dengan menunjukkan qudwah yang baik. Qudwah juga merupakan modal utama seorang daie. Seandainya seseorang tidak melakukan apa yang diperkatakan, semestinya insan yang diserunya sukar menerima segala kata-katanya. Pepatah Inggeris ada menyebut, action speaks louder than words. Kita juga biasa mendengar satu kata-kata, ‘perbaikilah diri kamu dan serulah orang lain’. Begitu juga dengan kata-kata, ‘tegakkanlah Islam di dalam dirimu nescaya akan tertegaklah Islam disekelilingmu’. Ini jelas menunjukkan bahawa dakwah itu bermula dari diri kita.


Kelima, kerjaya sebagai WASILAH dakwah.

Meskipun kini kita berada dalam konteks seorang pelajar, namun kita harus meletakkan  mind setting bahawa apabila kita sudah bekerjaya kita akan menjadikan kerjaya kita sebagai ‘alat’ dalam projek dakwah kita. Dan seharusnya kita ingat bahawa kerjaya utama kita di muka bumi Allah ini ialah PENDAKWAH! Kita juga harus sedar dan faham bahawa tiada istilah pencen dalam kerja dakwah.



Justeru, bagi menggalas tanggungjawab besar sebagai pelajar APIDS, menjadi kewajipan untuk kita melengkapkan diri dengan kelima-lima ciri tersebut. Bukankah kita semua mengimpikan agar Sains tidak lagi dipisahkan dengan Islam? Bukankah kita telah meletakkan para cendekiawan Islam dulu sebagai 'role model' kita? Tidak keterlaluan jika ana katakan bahawa para ilmuwan dan saintis Islam dahulu merupakan para 'Alim Mujahid!

Wallahu’alam. Wassalam.


Read More »

Tuesday, 18 June 2013

Langkah Permulaan.

Alhamdulillah.. Satu peluang Allah kurniakan untuk membuka blog "apids". Mudah-mudahan dengan pembukaan blog ni(bunyi mcm fathul mekkah je..), menjadi suatu wadah untuk kita sebarkan maklumat-maklumat penting, baik dari aspek agama, akademik, and yang lebih awla adalah assingment. seyum sinis.

Ayyuhal Ikhwah wal Akhowat,

Sedikit perkongsian berkenaan dengan "langkah bermula", especially KITA, merupakan pelajar baru di bumi Nilam Puri ini.
NIAT merupakan suatu perkara Awla sebelum meneruskan perjuangan kita yang bakal dirempuh.

Ya!!! itulah TAJDID NIAT...

Memulakan sesuatu langkah yang baru.

Mencipta suatu perjalanan kehidupan menjadi seorang Muslim berkualiti. 

Mungkin dahulu di sekolah, kita seorang yang aktif.. maka disinilah tempat untuk kita menjadi pasif.
Jika dahulu, kita seorang yang cergas bersukan, maka disinilah tempat kita membuka kilang lemak.
Mungkin dahulu, kita mampu bangun seawal subuh untuk bersiap ke kelas pada pkul 7.00pagi, maka disinilah tempat kita tidur sepuas-puasnya..ha ha ha. Gelak jahat. Puas.

Adakah begitu perubahan yang dilakukan???..

Mungkin konsep 'langkah bermula' boleh dinisbahkan dengan istilah "merekacipta sebuah kehidupan". Dan penciptaan sesebuah perkara memerlukan dasar atau permulaan yang baik.
Makanya disini, binalah permulaan kita yang terbaik.

Kerana inilah tempat, peluang yang terbaik untuk kita memulakan langkah penghijrahan.

"Kitalah yang mencorakkan siapa diri kita kepada orang lain."

Jangan Pernah Takut Untuk Melangkah Kehadapan


Jadi, Bentuklah suatu mentaliti dalam diri kita bahawa "aku lebih baik daripada ini" (bacaan english:Im better than this). Bak kata Ramlan dalam cerita "La takhaf al-fasyal".

"Ana Afdholu min haaza, wa Ana Afdholu min haaza, wa Ana Afdholu min haaza ".
Genggam penumbuk dan keluarkan ibu jari anda.

Insya-allah, kemudiannya akan terbina suatu mentaliti atau persepsi orang lain terhadap kita bahawa yang kita memang boleh.


#islamicscientist95@blogspot.com

Read More »