Wednesday, 4 May 2016

Jalinan Masyarakat: Refleksi #2


Kredit foto: Pautan

Assalamualaikum WBT dan ya, anda sedang berada di ruangan refleksi yang sangat ditunggu-tunggu! Agaknya apalah yang ditulis oleh rakan-rakan kita, kan? Oh ya, pada kali ini, refleksi kita khusus untuk Siri Jalinan Masyarakat kami yang kedua iaitu gotong-royong di Masjid Ar-Rahman! Jangan main-main, kalau gotong-royong di Masjid Bulat pada siri lepas, ramai yang menanam pokok, kali ini gotong-royong kami juga tidak kurang rare-nya! Haha. Apa yang rare-nya? Jom kita baca coretan daripada kawan-kawan kita!




Luahan
Oleh: Muhammad Hussin bin Abdul Jabar


Alhamdulillah, dapat join kursus sembelihan sebelum hias masjid. Walaupun tak join sampai habis tapi dapat jugak lah ilmu baru pasal cara sembelihan yang betul. Tapi agak kecewa sebab tak dapat tengok sembelih arnab. Memang letih, tapi puas hati sebab dapat makan free dan dapat cabutan bertuah.



Kagum Tapi Trauma


Saya kagum..kagum dengan makcik tu. Dia setia jaga masjid tu walaupun dah banyak kali dikomen oleh banyak pihak. Melihat dari sudut yang lain...makcik tu memang bagus sangat sebab nak tolong jaga tempat muslimat itu. Namun begitu.. perasaan saya pada hari itu agak bercelaru kerana telah dimarahi mak cik sejak pagi. Maafkan saya mak cik atas segala kesalahan saya. Tolong jangan marah saya. Saya hanya datang nak ceriakan masjid tu je. Saya trauma.



:)
Oleh: Nadzifatun Najwa


Pada tanggal 23 April lalu aku dan lagi 28 orang teman se'course'ku dengan jayanya telah melibatkan diri dengan program ASIS On Charity 2016 siri kedua iaitu Gotong-royong Masjid 2.0 di Masjid Ar-Rahman UM. Ianya merupakan kali pertama aku menjejakkan kaki ke masjid itu. Walhal dah berpuluh-puluh kali aku melaluinya. Teruknya aku ni. Hahaha. Macamlah masjid tu jauh sangat. Padahal jalan kaki pun boleh. Jalan kaki dari kolej 1 la. Bukan kolejku :/ 

Sebelum ini kami telah menjalankan Gotong-royong Masjid 1.0 di masjid yang terkenal dengan panggilan 'Masjid Bulat' di PJ. Di Masjid Bulat, buat pertama kalinya aku bercucuk tanam, bermain dengan pokok dan baja. Sungguh ianya pengalaman yang bermakna dalam hidupku. Jadi, program kedua di Masjid ar-Rahman berjalan, aku terfikir, apakah pengalaman baru yang akan aku peroleh?

Ternyata gotong-royong di Masjid Ar-Rahman lebih kepada aktiviti-aktiviti menghias atau bak kata orang putih 'decorate'. Suka benar aku mendengar perkataan 'menghias' ni. Almaklumla, cita-cita dulu nak jadi interior designer. Dan sememangnya diri ini gila dengan apa-apa yang berkaitan menghias, decoration dan design men'design' ni. Well, itu la saya. Pernah satu ketika, wall FB saya penuh dengan post-post berkaitan decoration dan designing. Orang berjiwa seni katakan :p

Nak dijadikan cerita, aku ditugaskan untuk menghias bilik air dan tempat wuduk wanita. Dan setiap kumpulan dibekalkan dengan peralatan-peralatan perhiasan seperti sticker dinding, sticker bunga-bungaan, dan seangkatan dengannya. Melihat saja perlatan yang saya cantik itu, berkobar-kobar semangatku nak menghias bilik air dan tempat wuduk wanita. Dan dalam kepala otakku mula melakar perhiasan yang akan dilakukan. Maafla, orang kreatif ni memang berimaginasi tinggi. Lagi-lagi yang berkait dengan seni. Laju je akal dan minda melakarkan kesenian dan kekreatifan. 

Tapi, sejujurnya, aku sedikit kecewa dengan peralatan yang dibekalkan. Awalnya nampak banyak dan mencukupi. Ternyata, apabila dibandingkan dengan tempat untuk dihias, ia tak mencukupi. Maka, hasil hiasan kami kurang memuaskan hatiku. Takpa lah, kita redha je. Huhuhu. Gini lah akan jadi bila orang lain yang merancang, orang lain yang buat. Si perancang fikirkan begini. Tapi si pembuat fikirkan yang lain. Otak-otak yang berbeza. Tidak di'briefing' pula. Memanglah. Jadi, hiasan yang terhasil hanyalah setakat yang mampu je. Takpa, janji ikhlas. Dapat pahala. :D

Lagipun kalau kerja menghias ni tak boleh banyak kepala sebenarnya. Nanti bercelaru. Dan tak boleh juga main beli barang tanpa betul-betul rangka hiasan. Ha, mula dah nak membebel pasal decoration. Ahaks. Macamlah pro sangat. Kuikui. Takpa, bukanlah hiasan yang tercantik kita kejar. Tapi pengalaman itu yang penting. Dan alhamdulillah, pihak masjid sangat berpuas hati dengan hasil kerja kami semua. Siap dapat bonus lagi. Alhamdulillah.

Terasa seperti sudah panjang lebar saya berceloteh. Lain yang difikir untuk dicoretkan, lain pula yang tertulis di sini. Apapun, maaf andai tersalah bahasa atau terkasar di mana-mana penulisan ini. Semoga karangan yang agak panjang ini memberi manfaat kepada pembaca walau sedikit cuma. Wallahua'lam.




Ar-Rahman
Oleh: Hanisah Yusof



Tepat jam 7.00 pagi,saya dan kawan-kawan saya bersiap untuk ke masjid al-Rahman sempena aktiviti gotong royong menceriakan kawasan di dalam dan di luar masjid sekaligus aktiviti penyembelihan arnab yang dianjurkan oleh pihak masjid al-Rahman.Seterusnya,kami diberikan sedikit pencerahan tentang aktiviti-aktiviti yang akan kami lakukan.Selepas itu,kami dihidangkan dengan sarapan pagi iaitu mee goreng dan teh ‘o’ panas.Begitu hangat di waktu pagi yang dingin dengan minuman yang panas dan makanan yang enak dan menyelerakan. 

Pada pukul 11.00 pagi,kami telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk aktiviti menceriakan masjid.Saya dan beberapa kawan saya telah ditugaskan di bahagian membaca dan tempat mengambil wuduk lelaki.Kami disediakan dengan hiasan-hiasan yang sangat cantik untukditampalkan di dinding agar nampak lebih menarik dan juga dapat menarik minat orang awam terutamanya kanak-kanak agar dapat menanam minat membaca dalam diri seseorang sama ada tentang ilmu agama dan juga isu-isu semasa.

Selama hampir 3 jam kami bertungkus lumus menyiapkan hasil hiasan kami.Setelah selesai aktiviti keceriaan ,kami terlebih dahulu menunaikan solat zohor dan selepas itu kami menjamu selera dengan hidangan makan tengah hari.Makanan kami pada waktu tengah hari ialah nasi arab berlaukkan daging arnab yang disembelih dan dimasak oleh orang-orang masjid dan juga orang awam.Kami makan secara beramai-ramai dan dihidangkan di dalam talam untuk mendapatkan keberkatan dan keredhaan allah.Disamping agar makanan dapat dikongsikan bersama dan mengeratkan ukhwah sesama insan.Setelah selesai menjamu selera,kami ditugaskan untuk membersihkan masjid dan juga membasuh peralatan yang telah digunakan.Akhir sekali ialah majlis penutup oleh Ustaz Firdaus selaku pengerusi masjid al-Rahman.Beliau banyak memberikan kata-kata motivasi dan juga kata-kata semangat kepada kami semua.Kami sangat berterima kasih kepada beliau kerana sudi menerima kami dan melayan kami dengan baik sekali sepanjang aktiviti kami dijalankan.Beliau juga banyak membantu kami dalam aktiviti tersebut.Akhir kalam,saya sangat berasa sangat gembira kerana dapat bersama-sama meluangkan masa dengan pihak masjid al-Rahman dan juga dapat membantu pihak masjid dalam menceriakan masjid.Disamping itu,saya juga berasa bersyukur kerana memperoleh pengalaman yang sebegini yang tidak saya lupakan sehingga akhirnya.

Read More »

Tuesday, 3 May 2016

Jalinan Masyarakat #2 - Gotong-Royong Masjid 2.0

Gambar oleh: Ahmad Muhaimin
Bismillah. Assalamu `alaykum warahmatullah.

Baiklah, pada penulisan kali ini, kami warga The 12th Legendaries akan bercerita pula perihal siri kedua Asis On Charity 2016 (AOC '16), iaitu gotong-royong di Masjid Ar-Rahman! *muzik gembira*

ASIS On Charity 2016 #2
Gotong-Royong di Masjid Ar-Rahman

Alhamdulillah, genap seminggu selepas siri pertama AOC '16 pada 16 April 2016, yakni gotong-royong di Masjid Tun Abdul Aziz (rujuk sini), kami kembali beraksi untuk siri kedua di Masjid Ar-Rahman pula. Kebetulan pada tarikh itu, iaitu 23 April 2016, Masjid Ar-Rahman berkolaborasi dengan pihak Universiti Malaya bagi menjalankan sebuah program mega sempena 111 tahun penubuhan varsiti kami itu. Butiran aturcara adalah seperti yang tertera pada poster di bawah.


Pergh, ada kenduri dan jamuan perdana 111 ekor arnab tu, siap dengan kambing golek sekali! Tetapi, sebelum itu, terdapat kursus penyembelihan arnab dan majlis penutupan kursus haji. Jadi, kami selaku warga The 12th Legendaries pun tumpang 'menyelit' sekali dengan penganjuran aktiviti JM, iaitu dengan aktiviti gotong-royong membersih dan menceriakan kawasan sekitar masjid (boleh rujuk poster di atas tu haaa...). Nampak tak permainannya di situ.

Menyoroti sedikit sejarah masjid ini, penubuhan Masjid Ar-Rahman yang terdapat di Lembah Pantai, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini adalah satu lambang pengorbanan dan usaha berterusan penduduk sekitarnya bersama-sama mahasiswa Universiti Malaya yang prihatin pada ketika itu. Menyedari pada ketika itu tidak terdapat sebuah masjid di situ, khususnya yang berhampiran dengan kediaman penduduk Kampung Kerinchi dan mahasiswa Universiti Malaya untuk mereka menjalankan aktiviti keagamaan selain menunaikan kewajipan terutamanya solat Jumaat, maka satu permohonan telah diajukan kepada pihak kerajaan dengan hasrat murni meminta didirikan sebuah masjid yang berhampiran dengan kawasan kediaman mereka itu.

Masjid ini telah dibina pada November 1962 dan siap sepenuhnya pada Ogos 1963. Masjid tersebut bukan sahaja menjadi lambang perpaduan penuntut-penuntut Universiti Malaya, tetapi juga umat Islam sekitarnya termasuklah juga penuntut dari Institut Perguruan Bahasa Melayu (IPBM) [kini dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Bahasa Melayu (IPGMKBM)] dan juga Institut Perguruan Bahasa-Bahasa Antarabangsa (IPBA) yang terletak bersebelahan. Selain itu, masjid juga telah menjadi tumpuan dalam kalangan kakitangan-kakitangan kerajaan mahupun swasta yang banyak terdapat di situ untuk menunaikan ibadah khususnya solat Jumaat. Anda boleh baca di sini untuk mengetahui sejarah Masjid Ar-Rahman dengan lebih lanjut.


Carta organisasi Masjid Ar-Rahman yang terkini

Ok, dah puas bercerita soal sejarah, sekarang mari kita fokus kembali kepada kemeriahan aktiviti kami di sini.

Kira-kira jam 8.00 pagi, sesi taklimat (atau sesi amanat?) ringkas untuk aktiviti gotong-royong telah pun bermula dan dikendalikan oleh Imam / Pentadbir Masjid, iaitu Ustaz Mohd Norhaj bin Abu Hassan. Kami mengambil sarapan yang disediakan oleh pihak masjid terlebih dahulu dan selepas itu, kami mengikuti teori dan praktikal sembelihan arnab. Hanya empat orang iaitu Muhaimin, Firdaus, Ain, dan Farhana yang dibenarkan untuk tidak mengikuti program sembelihan disebabkan ada tugas-tugas tertentu di pejabat masjid.





Ini dia tugas di dalam pejabat. Boleh skrol gambar-gambar di bawah.





Seterusnya, pada jam 11.00 pagi, bermulalah misi menghias dan menceriakan masjid dan kawasan sekitarnya. Kami telah dibahagikan tugas mengikut kumpulan beberapa hari sebelum hari kejadian supaya masing-masing mengenal erti sebenar tanggungjawab yang perlu dilaksanakan tanpa perlu diminta berulang-ulang kali, heh.

Tandas dan Tempat Wuduk Lelaki I
Ikhwan, Azfhadli, Firdaus, Sulaiman

Tandas dan Tempat Wuduk Wanita I
Azmina, Najwa, Syazwani, Hanani, Farhin

Tandas dan Tempat Wuduk Lelaki II
Hussin, Iskandar, Nawawi, Ali, Muhaimin

Tandas dan Tempat Wuduk Wanita II
Athiyah, Saliah, Intan, Husna, Fatin

Ruang Solat Wanita dan Tempat Wuduk
Farhana, Aqilah, Raihan, Adawiyah, Dariyah

Sudut Bacaan dan Tempat Wuduk Luar
Ain, Hanisah, Najihah, Afiqah, Aqila

Jom sama-sama kita saksikan kemeriahan anak-anak ini melakukan kerja-kerja mereka!

















Ini buat kerja ke main air? Hoho. Waterbenders detected.




Kerja-kerja penceriaan kawasan sekitar masjid berakhir sebelum masuknya waktu solat fardu Zuhur. Usai solat Zuhur secara berjemaah, para jemaah termasuk kami pun menikmati kenduri besar berlaukkan daging arnab yang disembelih pada pagi itu dan juga kambing golek. Yummy...



Walaupun kami berbeza warna kulit, namun hati kami tidak pernah dibezakan mengikut warna

Akhirnya, kira-kira jam 3.30 petang, kami pun mengadakan majlis penutup bersama pihak pentadbir Masjid Ar-Rahman. Ketua Imam / Ketua Pentadbir Masjid, al-Fadil Ustaz Mohd Firdaus bin Rosli telah melantunkan sedikit ucapan penghargaan, manakala upacara penyampaian cenderamata AOC '16 selepas itu telah pun selamat disampaikan oleh Timbalan Pengarah AOC '16, saudara Muhammad Hussin kepada al-Fadil ustaz.






Dan, ya... Kami pun bergambar kenang-kenangan dengan pihak pentadbiran masjid sejurus majlis bersurai pada jam 4.00 petang.



Harapan kami, biarlah program-program seumpama ini dapat dijalankan dengan lebih kerap dan bukan tamat sehingga ke sini sahaja agar ukhuwah yang terjalin ini akan sentiasa bertaut serta keceriaan masjid akan lebih terpancar dengan kehadiran dan komitmen para pelajar dalam usaha menjadikan masjid sebagai tempat yang paling selesa dan menenangkan hati, ewah.

Sebagai tambahan, program ini telah direkodkan dalam laman sesawang rasmi Masjid Ar-Rahman sebagai salah satu aktiviti tahunan masjid. Wow. Tak percaya? Anak-anak boleh rujuk di sini.

Baiklah, sehingga kita bertemu lagi pada siri yang seterusnya: ziarah ke rumah anak yatim, Insya-Allah. Hendak tahu bagaimana ceritanya? Nantikan! Assalamu `alaykum :)

---

Ahmad Muhaimin bin Ahmad Safaruddin
Divisi Multimedia dan Publisiti,
ASIS On Charity 2016.
hamassyujaiy.blogspot.my
Read More »

Monday, 2 May 2016

Jalinan Masyarakat: Refleksi #1

Kredit foto: Pautan 


Memoir Lola
Oleh: Nurain Munirah Binti Mohd. Zaki


Inilah saatnya,
Saat yang ditunggu sekian lama
Demi mengutip sebutir mutiara pengalaman hidup
Maka hari inilah akanku curahkan segala baktiku

Saat peluh mulai terbit lelah mulai menghambat
Sejuta satu liku kutepis perlahan
Kugagahkan jua demi Masjid Bulat

Memang tidak mudah untuk bersyukur dikala senang 
Namun tidak payah mencuba selagi berdaya.
Kerna kita berjiwa hamba 
Berjasad manusia




Lelah di Rumah Allah
Oleh: Hafiz Iskandar Bin Zainal


Alhamdulillah selesai sudah aktiviti gotong-royong yang telah dijalankan di Masjid Bulat untuk memenuhi jam kredit bagi subjek Jalinan Masyarakat. Aktiviti ini tanpa disangka telah memberi seribu satu kenangan berharga dan pengalaman berguna serta membuka ruang perkenalan antara pelajar SGPI bersama Ahli Kariah Masjid Bulat. Saya sangat terpesona dengan kegigihan ahli kariah yang turut bersama kami dalam membersih dan mencantikkan surau. Kesungguhan yang ditunjukkan mereka menyebabkan kami tidak terasa penat dan letih disamping keramahan mereka melayan segala kerenah kami. Di akhir pertemuan kami, wakil kariah masjid menyatakan kegembiraan mereka dengan kunjungan kami dan berharap ia bukanlah pertemuan yang terakhir. Apa yang boleh disimpulkan ialah ia ialah hari yang penat sehinggakan kami terbaring keletihan apabila sampai ke UM. Namun ia juga hari yang mengujakan hinggakan kami tidak henti-henti bercerita kembali pengalaman manis ini sebaik sampai ke bilik kami. Wasalam..





 "Polybag & Sisters"
Oleh: Nur Farhin Nabila Binti Hassan


Bismillah. Assalamualaikum. Haa saya diberi tugas untuk buat catatan sikit dekat blog ni. Dahla takda blog sendiri pun, terima jelah ye serba sedikit celoteh daripada saya :)

Korang mesti dah tau pasal aktiviti jalinan masyarakat a.k.a JM kitorang kan. So saya nak ceritalah serba sedikit ni. Aktiviti pertama kami ialah gotong-royong di Masjid Bulat. Masjid Tun Abdul Aziz sebenarnya nama masjid tu, tetapi disebabkan reka bentuknya berbentuk bulat, maka lebih dikenali dengan Masjid Bulat.

Apa saya nak cerita panjang-panjang ni. Baru perkenalkan nama masjid. Okay. Nak tau apa aktiviti kami kat sana? Baca catatan saya ni. Antara aktiviti yang kami lakukan di sana membersihkan ruang solat, berkebun dan mencantas pohon. Ada dua dewan solat, atas dan bawah. Kami dibahagikan kepada empat kumpulan. Antara kerja yang dilakukan di dewan solat lap tingkap, bersihkan kipas dan tempat wudhu', mop lantai dan sapu sampah. Kumpulan saya kena bercucuk tanam pada hari tersebut. Takda lah tanam pokok baru pun. Cuma alihkan anak pokok ke dalam polybag baru yang lebih besar, susun pasu dan sapu daun kering. Ada satu kumpulan lain dapat cantas dahan pohon nangka. Wah! A new experience for me.

Panjang pulak ye saya menulis. Penat nak membaca. Maklumlah first time ni menulis dekat blog. Haha. Orang kasi chance buat catatan ringkas je. Hmm.

Okay nak close dah ni. Apa nak cakap eh? Tulah, yang saya duk taip panjang-panjang kat atas tu. Nak bagitahu best sangat aktiviti hari itu. Banyak yang kami dapat belajar. Dahla dapat makanan free (senyum lebar sampai ke telinga). 

Memang fun habis lah that day

Tapi balik tu penat gila, lupa pulak nak cakap di permulaan tadi, sebenarnya kami buat aktiviti ni masa cuti pertengahan sem, terpaksa la korbankan masa cuti di rumah yang berbaki dua hari lagi. Saya pula baru je sampai kolej pagi tu terus pergi masjid. Penat tu tak payah cakaplah. Memang tak dapat diselamatkan lagilah bila balik kolej tu.

Dari tadi cakap nak berhenti, kali ni betul-betul punya. Jangan rindukan saya. Saya muncul sekali je. Haha. Selamat maju jaya semua orang!




Kenangan Memori Semalam
Oleh: Nur Farhana Binti Bajan


Terharu dan gembira. Itulah perasaanku setelah berganding bahu dengan Ahli Jawatankuasa Masjid Bulat yang sentiasa tidak lekang dengan senyuman manis mereka, melayan pelbagai kerenah kami. Walaupun penat bergotong-royong menceriakan kawasan luar dan dalam masjid, harapnya titik peluh kami yang tidak seberapa ini memberi manfaat buat para jemaah yang lain. Akhir kata, semoga jalinan yang telah kami bina ini akan tetap teguh dan utuh serta mendapat keredhaan dari-Nya, inshaAllah. =)



Read More »

Sunday, 1 May 2016

Jalinan Masyarakat #1 - Gotong-Royong Masjid 1.0

Kredit foto: Pautan

Bismillah. Assalamu `alaykum warahmatullah.

Apa khabar anak-anak sekalian? Alhamdulillah, pejam celik pejam celik, nafas berganti nafas, setelah dua minggu dari tarikh kutipan dana siri pertama (rujuk sini) berlalu, harinya kini berkunjung tiba. Hari yang dikatakan sangat ditunggu-tunggu oleh sekalian warga SMPIS/TM Gen-12 atau nama manjanya "The 12th Legendaries". Apakah hari itu, anak-anak?

Ya, inilah dia! Hari pertama untuk siri pertama "ASIS On Charity 2016" (AOC '16) kami! *trompet*
Jom bersama-sama kami menyelak helaian demi helaian bab pertama ini sehingga ke noktah yang terakhir!

Foto rasmi "ASIS On Charity 2016"

---

ASIS On Charity 2016 #1
Gotong-Royong di Masjid Tun Abdul Aziz

Alhamdulillah, pada pagi 16 April 2016 (Sabtu) yang lalu, kami telah berangkat secara berjemaah ke Masjid Tun Abdul Aziz (MTAA), Jalan Semangat, Seksyen 14, Petaling Jaya, Selangor. MTAA ini lebih dikenali sebagai Masjid Bulat oleh masyarakat setempat atas faktor masjid ini berbentuk bulatan (selain faktor mudah disebut). Masjid ini telah dibina pada Mac 1973 dan siap sepenuhnya pada September 1976. Pihak MT JM telah memilih masjid ini sebagai salah sebuah masjid untuk diadakan aturcara gotong-royong memandangkan masjid ini berada pada kedudukan yang agak berhampiran dengan kampus UM. Tambahan pula, program gotong-royong ini juga ialah hasil usahasama dengan Badan Khairat, Hal Ehwal Islam serta Pentadbiran MTAA.

Ahli Jawatankuasa Tadbir Masjid Tun Abdul Aziz sesi 2012-2015.
Sila klik pada gambar untuk paparan lebih jelas.

Kami tiba ke Masjid Bulat pada jam lebih kurang 8.00 pagi. Sebelum memulakan aktiviti, kami mendengar sedikit taklimat daripada wakil pihak masjid yang diketuai oleh Tuan Haji Mohd Suhaimi bin Ismail selaku Setiausaha Kerja MTAA mengenai gotong-royong yang akan dijalankan.






Kami telah dibahagikan kepada empat buah kumpulan beberapa hari sebelum hari kejadian yang diamanahkan untuk melaksanakan gerak kerja yang berbeza mengikut setiap kumpulan:-


Kumpulan 1


1. Tempat: Mezening (dewan solat atas)
2. Senarai tugas:

  • Memvakum permaidani
  • Mengelap cermin tingkap
  • Membersih kipas, dinding, dan sesawang
  • Membersih tempat wuduk wanita di aras satu
  • Lain-lain kerja
3. Kakitangan terlibat:
  • Abdul Razak Liman (ketua)
  • Abdul Rashid Nordin
4. Ahli kumpulan (6 orang): Azfhadli, Intan, Aqila, Syazwani, Aqilah, Afiqah


Kumpulan 2


1. Tempat: Dewan Dato' Abdul Wahab Majid (aras bawah)
2. Senarai tugas:
  • Mengemas dan membuang peralatan lama
  • Membasuh dan mengemop lantai
  • Mengelap cermin
  • Menyapu sampah dan habuk
3. Kakitangan terlibat:
  • Ustaz Lokman bin Ismail (ketua)
  • Ustaz Mahasan bin Abd Rahaman
  • Husna Hussin
4. Ahli kumpulan (8 orang): Ikhwan, Ain, Saliah, Hanani, Fatin, Athiyah, Raihan, Farhana


Kumpulan 3


1. Tempat: Belakang bangunan masjid (sebelah menara)
2. Senarai tugas:
  • Mengalih anak pokok
  • Menanam pokok bunga
  • Menyusun pasu ke tempat yang sesuai / disediakan
  • Mengemas dan membuang sampah
3. Kakitangan terlibat:
  • Ustaz Mohd Hazli bin Halim (ketua)
  • Siti Faridah binti Zainuddin
  • Musa Haji Md. Sommejan
  • Nasaruddin Abd. Rasak
4. Ahli kumpulan (10 orang): Iskandar, Firdaus, Wan Ali, Sulaiman, Najihah, Dariyah, Farhin, Azmina, Adawiyah, Najwa


Kumpulan 4


1. Tempat: Membersih sekeliling pagar masjid terutama bahagian belakang
2. Senarai tugas:
  • Mengutip sampah sarap
  • Menyapu daun kering
  • Mencantas dahan pokok nangka
3. Kakitangan terlibat:
  • Abdul Wahab Zakaria (ketua)
  • Ustaz Wildan Abd. Hamid
  • Sofia Marzuki
4. Ahli kumpulan (5 orang): Muhaimin, Nawawi, Hussin, Hanisah, Husna


Sebelum bergerak kerja, jom kita bergambar dahulu!



Sudah selesai bergambar? Mari kita mulakan gerak kerja kita sekarang!


Koleksi gambar aktiviti


Kumpulan 1







Kumpulan 2






Kumpulan 3



















Kumpulan 4




(Ekstra) Kumpulan 3 + 4






Majlis penutup

Alhamdulillah, kira-kira jam 12.00 tengah hari, selesai sudah kesemua tugasan yang telah diamanahkan. Usai merarau, kami mengadakan majlis penutup yang ringkas bersama wakil pihak masjid. Majlis telah dipengerusikan oleh saudara Iskandar, manakala penyampaian cenderamata AOC '16 pula telah disampaikan oleh pengarah JM, saudari Adawiyah kepada Puan Rovitah binti Katan. Tidak lupa juga kepada kak Siti Faridah binti Zainuddin atas ucapan penghargaan beliau yang sangat mantap pada akhir majlis.






Majlis berakhir lebih kurang jam 12.50 tengah hari selepas selesai ucapan kak Faridah. Maka, tamatlah siri pertama AOC '16 pada hari itu. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat atas kerjasama dan komitmen yang dipamerkan! Jumpa lagi pada siri yang akan datang, Insya-Allah!

Petikan daripada halaman Facebook MTAA mengenai program ini. Sumber: sini
Sila klik pada gambar untuk paparan lebih jelas


---

Ahmad Muhaimin bin Ahmad Safaruddin
Divisi Multimedia dan Publisiti,
ASIS On Charity 2016.
Read More »