Assalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh.
Alhamdulillah. Subhanallah. Allahuakbar.
Bismillahir Rahmanir Rahim.
Alhamdulillah, hampir genap sebulan kita berada di bumi tarbiyah Nilam Puri ini. Namun, sedarkah kita hakikat sebenar keberadaan kita di alam IPT ini?
Di sini suka untuk ana berkongsi sedikit ilmu yang ana peroleh dari sebuah program yang di khaskan untuk pelajar lepasan SPM sebagai persediaan memasuki dunia menara gading.
*****
Ana pernah disoal dengan soalan cepu mas oleh senior ana.
“ Kenapa kita kena masuk IPT?” Soalnya dengan nada yang
memaksa neuron-neuron otak ana untuk tangkas bekerja. Berfikir! Kenapa?
Jawapannya?
Kemudian dia menjawab, “ Kerana IPT adalah medan dakwah!”
Medan dakwah? Ya. Maka, bagi menjadikan IPT medan dakwah,
para penuntut IPT perlu menjadi ‘Alim Mujahid. Andai kita tidak memiliki
ciri-ciri ‘Alim Mujahid, dakwah yang kita jalankan tidak menunjukkan hasil.
Objek dakwah kita juga tidak terkesan dengan seruan dakwah kita. Dan tujuan
dakwah itu dijalankan tidak akan tercapai. Dan bolehlah dikatakan bahawa kita
bukanlah daie yang diinginkan oleh Islam.
Apa pula ‘Alim Mujahid?
‘Alim ialah orang yang pakar dalam sesuatu bidang dan
menjadi pakar rujuk.
Mujahid pula ialah orang yang bersungguh-sungguh dalam
melakukan sesuatu.
Maka, sebagai pelajar APIDS, 'Alim Mujahid menjadi keutamaan kita kerana kita bakal menguasai 2 bidang ilmu iaitu Deen dan Sains.
Kenapa menjadi ‘Alim Mujahid?
Ya, untuk menjalankan dakwah di IPT. Tetapi ada satu perkara
yang paling utama iaitu meraih MARDHOTILLAH!
Apakah pula ciri-ciri ‘Alim Mujahid?
Ciri-cirinya..
Pertama, memiliki AQIDAH yang sohih.
Apa itu AQIDAH? Aqidah ialah keyakinan dan kepercayaan.
Sohih pula benar. Maka, kita perlu memiliki keyakinan dan kepercayaan yang
benar. Apakah keyakinan dan kepercayaan yang benar? Sudah tentu keyakinan dan
keperayaan yang benar kepada Rabb kita iaitu Allah SWT. Kita perlu yakin dan
percaya akan KEESAANNYA, yakin dan percaya dengan ajaran-Nya. Mentaati
perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Yakin dan percaya kepada 6 Rukun
Iman. Kita juga harus yakin dan percaya bahawa sistem hidup yang sebenar adalah
ISLAM.
Andai kita tidak memiliki aqidah yang sohih, bagaimana kita
ingin melaksanakan dakwah? Cuba bayangkan. Seseorang menyeru orang kepada apa
yang tidak diyakininya. Bukankah ianya sesuatu yang pelik dan lucu? Menyuruh
orang lain melakukan apa yang tidak dilakukannya. Apakah wajar?
Di dalam buku ‘Apa Erti Saya Menganut Islam’ tulisan Fathi
Yakan ada menyenaraikan beberapa ciri-ciri aqidah yang benar. Antaranya ialah, mengimani dan meyakini bahwa pencipta alam
sejagat ini ialah Allah yang Maha Bijaksana, Maha Mengetahui dan tidak
memerlukan pertolongan orang lain. Saya
mestilah mengimani dan meyakini bahawa Allah tidak mencipta alam ini tanpa
tujuan atau untuk bermain-main sahaja. Dan terdapat banyak lagi ciri aqidah
yang sohih. Lepas ni boleh belek buku tu dan hadamkan.
Kedua, memiliki KEFAHAMAN yang jernih.
Apa itu kefahaman? Ideologi. Apa pula ideologi? Ideologi
juga membawa maksud pemikiran. Di dunia ini ada pelbagai jenis pemikiran.
Sekularisme, feminisme, komunisme dan banyak lagi. Di dalam agama Islam sendiri
banyak aliran pemikiran yang cuba disampaikan kepada umum. Namun, tidak semua
pemikiran-pemikiran adalah jernih dan benar. Jadi, memiliki pemikiran yang
jernih itu wajib!
Bagaimana dapat kita menilai kekejernihan sesuatu pemikiran
atau kefahaman?
Maka rujukan kita adalah al-Qur’an dan as-Sunnah. Andai
sesebuah kefahaman itu bertentangan dengan al-Qur’an dan as-Sunnah, maka
jelaslah kefahaman itu sesat dan memesongkan.
Pentingnya memiliki pemikiran serta kefahaman yang jelas
kerana dalam menjalankan tugas dakwah, kita hendaklah menyeru manusia kepada
kebenaran. Menyeru manusia untuk menaikkan syiar Islam. Andai tugas dakwah ini
dijalankan di atas paksi kesesatan dan pemesongan, maka tugas dakwah itu juga
salah kerana telah menjauhkan manusia dari Rabbnya.
Ketiga, mesti cemerlang dalam AKADEMIK.
Apakah peranan seorang mahasiswa di IPT? Apakah
tanggungjawab utama seorang penuntut IPT? Sudah tentu menuntut ilmu, bukan?
Maka bolehlah difahami bahawa menuntut ilmu merupakan ‘corebusiness’ seseorang
mahasisiwa. Jadi, apabila tujuan utamanya ke IPT adalah menuntut ilmu, maka dia
harus menumpukan seluruh perhatian dan fokusnya kepada ilmu atau lebih mudah,
AKADEMIK.
Dalam konteks dakwah, para pendakwah digesa untuk
memantapkan prestasi akademiknya. Kenapa? Kita tida mahu dengan alasan
berdakwah, pelajaran diabaikan. Ini akan menjadi fitnah kepada Islam itu
sendiri. Umum akan melihat Islam itu memperkecilkan soal pelajaran, tidak
mementingkan ilmu. Walhal, Islam amat menitik beratkan soal ilmu hingga wahyu
yang pertama yang diturunkan adalah gesaan agar orang muslim menuntut ilmu,
bacalah!
Meskipun menuntut ilmu adalah No. 1 dan menjadi keutamaan di
IPT, harus diingat bahawa Tarbiyah bukanlah No. 2! Justeru, tarbiyah dan
akademik hendaklah diimbangkan agar tiada yang diutamakan lebih dari yang lain.
Maka, kita seharusnya FOKUS ketika berada di IPT. Fokus utama kita ialah
mengejar ilmu dan bergiat dalam hal tarbiyah dan dakwah. Kita juga sewajibnya
meletakkan target untuk cemerlang dalam kedua-dua aspek, AKADEMIK dan TARBIYAH.
Keempat, aktif berDAKWAH.
Apa itu berdakwah? Berdakwah adalah menyeru manusia kepada
Allah. Mengingatkan manusia hakikat atau tujuan kita diciptakan. Berdakwah juga
ialah ‘calling people where you are’, dimanakah kita? Kita diatas landasan
Islam. Maka, kita ingin memanggil manusia ke landasan Islam juga. Kita juga
memanggil manusia untuk bersama-sama menggapai redha-Nya, memasuki syurga-Nya.
Ketahuilah, nikmat yang paling berharga adalah Allah sebagai Rabb kita. Justeru
nikmat yang beharga itu hendaklah dikongsikan dengan manusia di sekeliling kita
patah lagi dengan insan yang kita kasihi dan sayangi.
Kadang-kadang, timbul persoalan dalam diri kita,
bagaimanakah caranya untuk kita berdakwah? Antara beberapa perkara yang boleh
kita lakukan ialah dengan memanfaatkan kemahiran yang dimiliki. Contoh,
seandainya kita mahir melukis, kita berdakwah dengan manghasilkan komik islamik
atau sebagainya. Jika kita mahir dalam menulis, kita salurkan dalam bentuk
penulisan blog atau berkongsi status di FB. Andai kita dikenali sebagai insan
yang mesra, maka kita boleh menjalinkan ikatan sosial yang lebih meluas dan
sebarkan kebaikan kepada insan yang kita kenali.
Kita juga boleh berdakwah dalam konteks memberi contoh dan
qudwah. Hakikatnya, dakwah yang paling berkesan adalah dengan menunjukkan
qudwah yang baik. Qudwah juga merupakan modal utama seorang daie. Seandainya
seseorang tidak melakukan apa yang diperkatakan, semestinya insan yang
diserunya sukar menerima segala kata-katanya. Pepatah Inggeris ada menyebut, action speaks louder than words. Kita
juga biasa mendengar satu kata-kata, ‘perbaikilah diri kamu dan serulah orang
lain’. Begitu juga dengan kata-kata, ‘tegakkanlah Islam di dalam dirimu nescaya
akan tertegaklah Islam disekelilingmu’. Ini jelas menunjukkan bahawa dakwah itu
bermula dari diri kita.
Kelima, kerjaya sebagai WASILAH dakwah.
Meskipun kini kita berada dalam konteks seorang pelajar,
namun kita harus meletakkan mind setting bahawa apabila kita sudah
bekerjaya kita akan menjadikan kerjaya kita sebagai ‘alat’ dalam projek dakwah
kita. Dan seharusnya kita ingat bahawa kerjaya utama kita di muka bumi Allah
ini ialah PENDAKWAH! Kita juga harus sedar dan faham bahawa tiada istilah pencen dalam kerja dakwah.
Justeru, bagi menggalas tanggungjawab besar sebagai pelajar APIDS, menjadi kewajipan untuk kita melengkapkan diri dengan kelima-lima ciri tersebut. Bukankah kita semua mengimpikan agar Sains tidak lagi dipisahkan dengan Islam? Bukankah kita telah meletakkan para cendekiawan Islam dulu sebagai 'role model' kita? Tidak keterlaluan jika ana katakan bahawa para ilmuwan dan saintis Islam dahulu merupakan para 'Alim Mujahid!
Wallahu’alam. Wassalam.
No comments:
Post a Comment