Tuesday, 3 May 2016

Jalinan Masyarakat #2 - Gotong-Royong Masjid 2.0

Gambar oleh: Ahmad Muhaimin
Bismillah. Assalamu `alaykum warahmatullah.

Baiklah, pada penulisan kali ini, kami warga The 12th Legendaries akan bercerita pula perihal siri kedua Asis On Charity 2016 (AOC '16), iaitu gotong-royong di Masjid Ar-Rahman! *muzik gembira*

ASIS On Charity 2016 #2
Gotong-Royong di Masjid Ar-Rahman

Alhamdulillah, genap seminggu selepas siri pertama AOC '16 pada 16 April 2016, yakni gotong-royong di Masjid Tun Abdul Aziz (rujuk sini), kami kembali beraksi untuk siri kedua di Masjid Ar-Rahman pula. Kebetulan pada tarikh itu, iaitu 23 April 2016, Masjid Ar-Rahman berkolaborasi dengan pihak Universiti Malaya bagi menjalankan sebuah program mega sempena 111 tahun penubuhan varsiti kami itu. Butiran aturcara adalah seperti yang tertera pada poster di bawah.


Pergh, ada kenduri dan jamuan perdana 111 ekor arnab tu, siap dengan kambing golek sekali! Tetapi, sebelum itu, terdapat kursus penyembelihan arnab dan majlis penutupan kursus haji. Jadi, kami selaku warga The 12th Legendaries pun tumpang 'menyelit' sekali dengan penganjuran aktiviti JM, iaitu dengan aktiviti gotong-royong membersih dan menceriakan kawasan sekitar masjid (boleh rujuk poster di atas tu haaa...). Nampak tak permainannya di situ.

Menyoroti sedikit sejarah masjid ini, penubuhan Masjid Ar-Rahman yang terdapat di Lembah Pantai, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini adalah satu lambang pengorbanan dan usaha berterusan penduduk sekitarnya bersama-sama mahasiswa Universiti Malaya yang prihatin pada ketika itu. Menyedari pada ketika itu tidak terdapat sebuah masjid di situ, khususnya yang berhampiran dengan kediaman penduduk Kampung Kerinchi dan mahasiswa Universiti Malaya untuk mereka menjalankan aktiviti keagamaan selain menunaikan kewajipan terutamanya solat Jumaat, maka satu permohonan telah diajukan kepada pihak kerajaan dengan hasrat murni meminta didirikan sebuah masjid yang berhampiran dengan kawasan kediaman mereka itu.

Masjid ini telah dibina pada November 1962 dan siap sepenuhnya pada Ogos 1963. Masjid tersebut bukan sahaja menjadi lambang perpaduan penuntut-penuntut Universiti Malaya, tetapi juga umat Islam sekitarnya termasuklah juga penuntut dari Institut Perguruan Bahasa Melayu (IPBM) [kini dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Bahasa Melayu (IPGMKBM)] dan juga Institut Perguruan Bahasa-Bahasa Antarabangsa (IPBA) yang terletak bersebelahan. Selain itu, masjid juga telah menjadi tumpuan dalam kalangan kakitangan-kakitangan kerajaan mahupun swasta yang banyak terdapat di situ untuk menunaikan ibadah khususnya solat Jumaat. Anda boleh baca di sini untuk mengetahui sejarah Masjid Ar-Rahman dengan lebih lanjut.


Carta organisasi Masjid Ar-Rahman yang terkini

Ok, dah puas bercerita soal sejarah, sekarang mari kita fokus kembali kepada kemeriahan aktiviti kami di sini.

Kira-kira jam 8.00 pagi, sesi taklimat (atau sesi amanat?) ringkas untuk aktiviti gotong-royong telah pun bermula dan dikendalikan oleh Imam / Pentadbir Masjid, iaitu Ustaz Mohd Norhaj bin Abu Hassan. Kami mengambil sarapan yang disediakan oleh pihak masjid terlebih dahulu dan selepas itu, kami mengikuti teori dan praktikal sembelihan arnab. Hanya empat orang iaitu Muhaimin, Firdaus, Ain, dan Farhana yang dibenarkan untuk tidak mengikuti program sembelihan disebabkan ada tugas-tugas tertentu di pejabat masjid.





Ini dia tugas di dalam pejabat. Boleh skrol gambar-gambar di bawah.





Seterusnya, pada jam 11.00 pagi, bermulalah misi menghias dan menceriakan masjid dan kawasan sekitarnya. Kami telah dibahagikan tugas mengikut kumpulan beberapa hari sebelum hari kejadian supaya masing-masing mengenal erti sebenar tanggungjawab yang perlu dilaksanakan tanpa perlu diminta berulang-ulang kali, heh.

Tandas dan Tempat Wuduk Lelaki I
Ikhwan, Azfhadli, Firdaus, Sulaiman

Tandas dan Tempat Wuduk Wanita I
Azmina, Najwa, Syazwani, Hanani, Farhin

Tandas dan Tempat Wuduk Lelaki II
Hussin, Iskandar, Nawawi, Ali, Muhaimin

Tandas dan Tempat Wuduk Wanita II
Athiyah, Saliah, Intan, Husna, Fatin

Ruang Solat Wanita dan Tempat Wuduk
Farhana, Aqilah, Raihan, Adawiyah, Dariyah

Sudut Bacaan dan Tempat Wuduk Luar
Ain, Hanisah, Najihah, Afiqah, Aqila

Jom sama-sama kita saksikan kemeriahan anak-anak ini melakukan kerja-kerja mereka!

















Ini buat kerja ke main air? Hoho. Waterbenders detected.




Kerja-kerja penceriaan kawasan sekitar masjid berakhir sebelum masuknya waktu solat fardu Zuhur. Usai solat Zuhur secara berjemaah, para jemaah termasuk kami pun menikmati kenduri besar berlaukkan daging arnab yang disembelih pada pagi itu dan juga kambing golek. Yummy...



Walaupun kami berbeza warna kulit, namun hati kami tidak pernah dibezakan mengikut warna

Akhirnya, kira-kira jam 3.30 petang, kami pun mengadakan majlis penutup bersama pihak pentadbir Masjid Ar-Rahman. Ketua Imam / Ketua Pentadbir Masjid, al-Fadil Ustaz Mohd Firdaus bin Rosli telah melantunkan sedikit ucapan penghargaan, manakala upacara penyampaian cenderamata AOC '16 selepas itu telah pun selamat disampaikan oleh Timbalan Pengarah AOC '16, saudara Muhammad Hussin kepada al-Fadil ustaz.






Dan, ya... Kami pun bergambar kenang-kenangan dengan pihak pentadbiran masjid sejurus majlis bersurai pada jam 4.00 petang.



Harapan kami, biarlah program-program seumpama ini dapat dijalankan dengan lebih kerap dan bukan tamat sehingga ke sini sahaja agar ukhuwah yang terjalin ini akan sentiasa bertaut serta keceriaan masjid akan lebih terpancar dengan kehadiran dan komitmen para pelajar dalam usaha menjadikan masjid sebagai tempat yang paling selesa dan menenangkan hati, ewah.

Sebagai tambahan, program ini telah direkodkan dalam laman sesawang rasmi Masjid Ar-Rahman sebagai salah satu aktiviti tahunan masjid. Wow. Tak percaya? Anak-anak boleh rujuk di sini.

Baiklah, sehingga kita bertemu lagi pada siri yang seterusnya: ziarah ke rumah anak yatim, Insya-Allah. Hendak tahu bagaimana ceritanya? Nantikan! Assalamu `alaykum :)

---

Ahmad Muhaimin bin Ahmad Safaruddin
Divisi Multimedia dan Publisiti,
ASIS On Charity 2016.
hamassyujaiy.blogspot.my

No comments:

Post a Comment