Monday, 19 August 2013

Universiti – Medan Membina Insani, Bukan Kubang Melempias Nafsu Haiwani !

Di Jordan, melepasi satu peperiksaan yang disebut sebagai taujihi (peringkat menengah seperti SPM di Malaysia) adalah satu kegembiraan yang tidak terkira bagi pelajar-pelajar menengah ini. Lepas peperiksaan ini menandakan mereka sudah berjaya satu langkah awal untuk menuju universiti.
Kegembiraan itu kadangkala disambut dengan budaya-budaya pelik yang agak mengejutkan saya sewal melihat sambutan mereka itu. Apapun, saya rasa tidak perlu saya panjangkan cerita tentang budaya mereka yang dahsyat itu kerana fokus saya lebih kepada menceritakan bagaimana gembiranya mereka selepas mengetahui mereka lulus untuk dapat masuk ke universiti selepas itu.
Di Malaysia sendiri, saya kira dapat masuk ke univesiti itu adalah satu kegembiraan awal bagi seorang ibu dan ayah.
Begitulah alam universiti. Menjadi kegembiraan dan harapan besar bagi sesetengah orang untuk memasukinya. Tetapi, kegembiraan itu tidak harus terhenti di situ saja.
Alam universiti, sesuai dengan namanya, sepatutnya menjadi tempat melahirkan lebih ramai mahasiswa yang berwibawa dan cakna dengan keadaan masyarakatnya, bukan sekadar jadi tempat menyuapkan ilmu apalagi menjadi kubang melepaskan nafsu haiwani !

Mahasiswa, Di Mana Kita?
Saban tahun, tidak sedikit graduan yang keluar daripada institusi-institusi pendidikan tinggi seperti universiti, kolej dan yang sama waktu dengannya. Tidak kiralah daripada jurusan apapun, baik syariah mahupun tidak.
Kita perlu bertanya semula, di mana graduan kita yang ramai ini melata dalam masyarakat di negara kita?
Adakah sijil lulus dari universiti hanya untuk memenuhi permintaan pekerjaan di pasaran atau pun sijil menjadi laku dan terkenal di dalam masyarakat kita?
Kita perlu bertanya, kerana saban tahun majoriti yang keluar menjadi siswazah adalah orang-orang muda, yang berdarah panas, yang sepatutnya penuh dengan cita-cita dan harapan, yang sepatutnya jiwanya penuh dengan keazaman, tetapi adakah keberadaan kita menjadi makna besar di dalam masyarakat? Adakah keberadaan kita memberikan sumbangan ke arah perubahan yang lebih baik dalam masyarakat?
Ataupun kita hanya pergi ke universiti, belajar, menduduki peperiksaan, dan pulang ke kampung halaman hanya untuk duduk mendiamkan diri sahaja? Ataupun kita pergi ke universiti hanya untuk memiliki sijil supaya nanti dapat bekerja dan menyara keluarga kita? Bagaimana dengan masyarakat kita? Bagaimana jiran-jiran yang hidup di sekitar kita? Dapatkah satu sijil kita itu menampung pendidikan dan pembangunan dalam masyarakat kita?
Di mana kita, wahai mahasiswa dalam masyarakat ini?

Kita Buat Apa Di Universiti?
                                        Adakah ini jadual harian seorang mahasiswa? Fikirkanlah.
Persoalan-persoalan ini hanya akan terjawab dengan melihat apa yang kita sedang lakukan di universiti sekarang. Apa yang kita sedang buat di universiti sekarang?
Belajar ? Ambil exam ? Balik kuliah, pergi kuliah? Lepas tu ?
Balik rumah, main game (?), menonton movie (?), lepas tu apalagi?
Saya tidak katakan itu semua satu perkara yang salah, tetapi apakah hanya sekadar itu ?
Saya mendapat respon daripada seorang sahabat saya di sebuah universiti Islam di Malaysia tentang peliknya seseorang mahasiswa itu jika dia tidak bercouple. Ini satu kehairanan bagi saya kerana pada saya, bercouple itulah yang sepatutnya dipandang sebagai suatu yang pelik.
Bukan sekadar bertentangan dengan larangan Allah yang melarang kita mendekati zina, bahkan ia menghabiskan masa kita pula dengan sia-sia dan kerosakan.
Dukacitanya masa depan sebuah negara dan masyarakat bilamana para pemuda pemudinya yang sepatutnya datang ke universiti untuk membina dirinya, tetapi banyak menghabiskan masa pula dengan dosa dan perkara yang sia-sia. Tidak sekadar hilang keberkatan dalam hidup, bahkan hilang pula sebahagian besar masa untuk pembinaan diri.
Adakah medan universiti benar-benar menjadi medan untuk kita membina diri ataupun kubang tempat melempiaskan nafsu haiwani?
Kerisauan ini, tidak bisa saya diamkan. Saya memikirkan apa yang akan terjadi pada masa depan sebuah negara bernama Malaysia dan masyarakatnya ini dalam 15-20 tahun lagi.
Yang lebih membimbangkan saya adalah apabila terdapat juga segelintir graduan-graduan syariah yang diharapkan untuk memimpin masyarakat dalam hal ehwal agama terlibat dalam krisis dosa dan kerosakan yang mencemarkan wajah Islam. Sudah tentu saya perlu jujur bercakap tentang graduan syariah, kerana saya sendiri adalah salah seorang yang sedang melalui proses mempelajari ilmu-ilmu syariah itu dan saya bergaul dengan ramai pemegang-pemegang sijil syariah.
Saya mohon berlindung daripada Allah s.w.t. daripada terlibat dalam kerosakan-kerosakan yang mencemarkan wajah Islam yang sedang dan akan terus dibawa kerana saya bimbang akan dipersoalkan atas tanggungjawab saya setelah berpeluang mempelajari dan mendalami ilmu ini lebih sedikit daripada orang yang bukan di dalam bidangnya, tetapi tidak bersungguh-sungguh ketika menuntutnya sehingga memberi pengertian Islam yang salah kepada orang ataupun menjadi wajah yang buruk kepada Islam itu sendiri .

Kitalah Masa Depan

Sebab itu, berpuas hati setelah dapat masuk ke universiti tidak sepatutnya menjadi perhentian terakhir kita dalam belajar.
Universiti hanyalah sebuah tempat latihan terbuka untuk kita.
Bagaimana mungkin kita dapat menjadi makna besar dalam masyarakat sekiranya keberadaan kita di universiti hanya untuk pergi balik belajar dan melakukan assignment-assignment yang ditugaskan itu saja?
Pergi balik hanya untuk mendengar kuliah, pulang ke rumah memencil diri dalam bilik, menghabiskan masa dengan game dan movie, malas membaca buku, tidak menjaga ibadah, tidak berdisiplin dengan masa dan pengurusan diri, tidak bersungguh membangunkan diri.
Cukupkah hanya itu saja demi sebuah masa depan menuju pembaikan masyarakat ? Apakah cukup?
Apalagi kalau universiti itu menjadi kubang melempiaskan nafsu haiwani, menjadi tempat tontonan pasangan-pasangan couple bermanis-manisan janji sehidup semati pada pukul 12.00 malam ke atas tanpa mengenal batas sehingga lahir bayi buangan, menjadi kubang melahirkan ramai lelaki lembut dan perempuan yang  menjalin hubungan luar tabii ketika memencil diri di rumah.
Di manakah letaknya masa depan untuk Islam yang sering dicita-citakan itu? Tidak sekadar masa depan, bahkan perlu bertanya juga pada diri kita, apakah masih punya harga diri lagi ketika itu?

Penutup : Membina Fitrah Insani, Bukan Membela Nafsu Haiwani
Hati saya resah beberapa hari ini memikirkan hal ini. Saya tidak dapat mendiamkan kerisauan yang dalam di hati saya memikirkan dan merenungi hal ini.
Hati yang penuh kerisauan biasanya sentiasa timbul pelbagai persoalan dalam benaknya.
Hal ini pastilah tidak semudah menulis artikel ini. Sudah pasti menulis artikel ini tidak akan dapat menyelesaikan masalah ini. Cuma saya sekadar mahu berkongsi kerisauan saya. Saya tahu, ia tidak akan menjadi rawatan kepada masalah ini, tetapi sekurang-kurangnya saya harap dapat mencetuskan rasa risau dalam diri orang lain supaya tidak duduk selesa dan diam saja ketika berada di universiti.
Pergi universiti dalam keadaan selesa, balik selesa, duduk di rumah lebih selesa lagi tanpa memikirkan peranan dan penglibatan mereka secara serius dalam membaiki dan mengubah masyarakat. Ini adalah sikap yang bahaya.
Kita bukan haiwan.
Kita insan.
Hiduplah sebagaimana seorang insan patut hidup.
Hidupnya tidak hanya untuk memuaskan nafsu dan keselesaannya semata-mata, tetapi ada fitrah dalam dirinya yang cintakan kebaikan dan benci melihat kerosakan yang perlu dipenuhi.
Begitulah sepatutnya jiwa seorang mahasiswa patut dibina ketika di alam universiti. Untuk memenuhi fitrah ini, tidak cukup aspek ilmunya saja yang perlu dibentuk, tetapi aspek keimanannya, aspek kemahiran-kemahiran diri dan sebagainya perlu diberikan perhatian yang serius.
Inilah yang sering diabaikan.
Semoga kita dapat bersama dalam menggerakkan arus perubahan dan peningkatan.
Bahawa kita bukan masuk ke universiti untuk menjadi haiwan, tetapi untuk keluar menjadi insan !

No comments:

Post a Comment