Sunday 8 May 2016

Jalinan Masyarakat #4 - Bantuan Gelandangan 1.0


Balik bilik, bersihkan badan, solat dan makan, berehat seketika lelapkan mata. Siri Jalinan Masyarakat kami yang ketiga yakni ke Rumah Kesayangan baru sahaja berakhir. Pulang ke kolej hanya untuk dapatkan sedikit ruang untuk diri sendiri, sebelum bergerak pula untuk siri AOC kami yang seterusnya.

Agak-agaknya ke mana .... ?



ASIS On Charity #4:
Bantuan Gelandangan 1.0


9 malam. Sepatutnya setiap ahli sudah berkumpul di hentian bas kolej masing-masing. Masha Allah penatnya tak hilang lagi. Akhirnya janji itu, ada yang tidak dapat penuhi. 

Ahli kolej 8 dan 10 bergabung dan bergerak bersama-sama menaiki teksi ke LRT Kerinchi. Tunggu punya tunggu sahabat dari kolej 5, tetapi tidak muncul tiba, akhirnya kami gerak dahulu.

Rupanya susah nak dapatkan teksi di situ, lama sangat tunggu. Kesudahannya, minta bantuan Ustaz Akbar lejen Nilam Puri kita supaya dihantar. Ikhwah pula naik moto, apa lagi! Alhamdulillah semua selamat tiba di Masjid Jamek lebih kurang 10.20 hingga 10.45 malam. Tidur cepat, esok nak bangun awal!

Tapi tiba-tiba sahaja, semua dah kena bangun dan bersiap untuk pembungkusan makanan. 4.50 pagi. Ikhwah sampai dahulu baru akhawat. Cenggini barulah 'arrijal qowwamuna 'alan nisa'... #PenunggangAgama 

Dengan arahan dari NGO Unggas, kami bersiap melaksanakan kerja kami pada awal pagi yang dingin itu. Bungkus nasi lemak, kuih muih, air panas dan air sejuk. Dengan pencahayaan yang kurang (selain cahaya keimanan dari ruang hati masing-masing), kami menyempurnakan tugasan sebelum azan subuh berkumandang.

Dalam masa yang sama, pakaian yang sudah kami bungkus khas untuk para gelandangan juga terpaksa dibuka dan dihampar di atas tikar. Pesan mereka,

"Nanti sewaktu mereka datang, pastikan seorang individu mengambil satu pasang baju sahaja. Kalau boleh jangan bagi ambil lebih. Takut mereka buat jualan pula. Dan untuk bagi adil kepada mereka yang datang lambat." -dengan sedikit olahan dari si penaip hee-

Kami berganti-ganti menunaikan solat subuh di masjid yang terkenal di seluruh negara itu. Usai sahaja imam membacakan doa, terus kami diserbu oleh orang ramai. Rupanya program yang dianjurkan oleh UNGGAS tersebut memang sudah sedia maklum oleh penduduk kawasan sekitar. Memang meriah dan khidmat masyarakat tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk berdekatan. Apatah lagi sebenarnya, program tersebut memang tidak dikhaskan kepada gelandangan sahaja bahkan terbuka kepada mereka yang kurang mampu. Memang terbaik!

Dan juga bertambah meriah sebab ada kami lah :P haha. Alhamdulillah, ramai yang singgah tikar-dihampar-pakaian kami itu. Tak tergambar rasanya melihat wajah-wajah girang memilih pakaian. Sayu hati melihat wanita yang sudah kelihatan berumur, memilih pakaian kanak-kanak. Rupa-rupanya dipilih untuk cucunya. Allahu. Nikmat apa lagi yang kita mahu dustakan?

Tidak lama kemudian, kami bergerak menuju ke kawasan sekitar Masjid Jamek untuk mengagihkan makanan dan pakaian. Beberapa orang daripada kami tinggal di kawasan masjid untuk menjaga barang dan meneruskan melayan tetamu subuh pada hari itu. Alhamdulillah tidak lama kemudian, sesi mengagih makanan sama ada di sekitar masjid atau dalam kawasan masjid, telah pun berjaya dilaksanakan!

Tiba masa untuk... makan! 

Selesai bersarapan (yang sangat sedap), kami berkumpul untuk sesi resolusi bersama NGO UNGGAS. Rata-rata daripada kami memang pertama kali menyertai projek gelandangan seperti ini. Kadang ibu ayah yang tak lepaskan anaknya keluar malam, kadang pula memang tiada masa dan kadang pula tiada peluang atau teman. Alhamdulillah, pengalaman yang sangat berharga untuk setiap daripada kami. Kan? 

Selesai resolusi dan sesi bergambar, kami terus bergerak kembali semula ke varsiti tercinta. Hujung minggu yang sangat bermanfaat untuk kami, berakhir juga. Penat tapi seronok. Walau banyak kekurangan dan kelemahan, tetapi mengakhirinya juga adalah sebuah kejayaan yang sangat bermakna! 

Tapi opsss.. belum habis lagi! Ada lagi satu projek Asis On Charity kita... Nantikan....   





No comments:

Post a Comment