Monday 9 May 2016

Jalinan Masyarakat: Refleksi #4

Assalamualaikum dan hai! Anda berada di sini lagi! Alhamdulillah Siri AOC kami yakni Homeless 1.0 dah berakhir! Siri Homeless yang pertama ini kami adakan kolaborasi dengan UNGGAS (Urusetia Menangani Gejala Sosial) yang tersangatlah awesome sebab buat di masjid, jadi setiap orang yang nak ambil bantuan tersebut, kena solat subuh dahulu. Bukankah baik bila dapat mengajak orang bersolat? Sis malas nak sembang banyak lagi. Jom baca apa kata kawan kita! :D



Rewang Subuh
Oleh: Wan Ali Abbas bin Wan Mustafa Kamal


Alhamdulillah, hari ni Feed Homeless 1.0 dapat dijayakan dengan cemerlang sekali. Jika ditanya apa yang cemerlang pada program ke-empat JM kali ni, mungkin saya akan katakan cemerlang sebab kami berpagian bekerjasama dalam satu pasukan membungkus nasi, packing sarapan dan edar ke sekitar Masjid Jamek. Tambahan pula Mami (ketua NGO Unggas Kota) cam bagi respon yang amat baik dan senyum memanjang sepanjang program berlangsung pada kami.

Bila terlibat dengan NGO ni, baru aku tahu yang kat dunia ni ada juga orang pelik yang sanggup korbankan tidurnya untuk sediakan sarapan kepada insan yang memerlukan (hakikatnya bukan sekadar waktu tidur, akan tetapi tenaga, wang, masa dan banyak lagi yang aku tak tahu nak senaraikan). Padahal mereka tak kenal orang yang mereka tolong tu. Terharu sungguh hati ini. Moga Allah mengganjari kalian dengan sebaik-baik ganjaran. 

Terharu, terharu juga. Namun begitu, emosi aku agak terganggu tatkala melihat longgokan dan taburan sampah sarap di sekitar komuniti gelandangan. Umpama disemai malam hari, berbuah pada paginya dan dipetik pada siangnya. Tak tahu mana datangnya sampah-sampah yang banyak tu (meskipun sangka buruk dah membuah dalam fikiran aku). Tetapi ada betulnya juga sangka buruk aku tu kan? Apalah nasib tukang sapu yang bertugas pada pagi ni.

Tak apa lah, apa-pun aku tak nak salahkan komuniti gelandangan atau mana-mana pihak bertanggung jawab itu sahaja. Mungkin ada betulnya sampah tu hasil daripada mereka. Atau mungkin sebab ada orang mabuk yang buat hal malam tadi. Atau mungkin majlis perbandaran cuti semalam. Atau mungkin ini kali pertama terjadinya fenomena semai sampah atas kaki lima dan mungkin aku je yang cerewet dengan jumlah sampah sedemikian.

Tetapi aku tak rasa kita patut abaikan dan ambil mudah dengan sampah berterabur begitu sahaja. Tak kiralah apa status kita, kita patut jaga kebersihan. Bukankah Islam mengajar kita bahawa kesucian sebahagian dari keimanann?

Risau juga hati ini. Angkara sampah, satu bandar kena wabak. Kita juga yang susah. Jadi sama-sama lah kita berbuat perkara kebaikan dan menjauhi kecelakaan dan salah satu caranya dengan memulihara kebersihan kawasan sekitar serta memelihara kebersihan agar berkekalan selamanya.

Rasanya itu sahaja dari saya. Terima kasih kerana sudi membaca. Maaf andai ada salah dan silap dalam teks ini.

*Mami jangan lupa baca coretan senja saya ni. Maaf sebab tak ikut serta sekali masa majlis penutup tu. Saya kurang sihat.

-ikhlas dari yang mencedok nasi berbaju biru-




Bukan pantun, bukan syair..
Oleh: Nurul Afiqah binti Anuar



Bukan pantun, bukan juga sajak, apatah lagi syair mahupun gurindam. Mungkinkah..

...
Ya Allah Ya Rahim,
Siapa yang berkuasa.
Ya Allah Ya Rahim,
Renungkanlah.

Malam itu, malam ku tidak di kolej juga di perumahan, 
tidak juga di atas katil yang empuk lagi nyaman, 
melainkan di bilik mesyuarat masjid ditemani rakan seperjuangan, 
bagi meneruskan misi jalinan masyarakat yang bagai tiada kesudahan.

Pagi keesokan, 
dikejut alarm bersahut-sahutan, 
kami bangun terpisat-pisat menyambut seruan Tuhan, 
memohon terhindar dari kelalaian, 
juga memohon keberkatan.

Pagi yang indah nian, 
dikelilingi kotaraya yang masih kesepian, 
tangan-tangan yang lincah bekerja kelihatan, 
bagi menyediakan makanan buat bekalan, 
tidak lupa baju-baju yang kami sediakan, 
buat warga kota khususnya gelandangan.

Dibalik mentari yang mengeluarkan sinaran, 
berdirinya sosok-sosok indah ciptaan Tuhan, 
mengedar makanan serta pakaian, 
kepada warga kota yang memerlukan.

Tatkala makanan diedarkan, 
ku lihat umat Muhammad penuh perasaan, 
Sungguh ar-Rahman dengan penuh kemurahan, 
fitrah manusia minta diisi tika kelaparan, 
 dari dekat pengamatan kudapatkan, 
melalui kacamata insan penuh kehinaan.

Di bawah sebuah gerakan, 
menambah rasa kekeluargaan, 
tidak lupa nilai tambah pengalaman, 
bersama sahabat dan juga teman.

Adakah kau rasa dunia isinya hanya kau yang punya,
Adakah kau lupa ataupun kau buta kau dan aku hamba,
Kuasa harta wanita mengaburi minda, mengotori jiwa dan bicara, 
Bila bicara bicaranya semua besar,
Mendabik dada besar egonya .

Sekian..




Coretan Homeless
Oleh: Fatin Nabiha bt. Kamaruddin


Perjalanan ini bermula setelah kami berpenat pulasan di rumah anak yatim petang itu. Homeless merupakan aktiviti ke-4 kami dalam program jalinan masyarakat. Petang itu setelah selesai beraktiviti di rumah anak yatim, kami bertolak pulang pada pukul 5 petang. Sampai di UM dalam pukul 6 petang. Setelah sampai kami mengambil masa untuk berehat di kolej sebentar sebelum berangkat kembali ke tempat seterusnya. Namun bagiku, masa untuk berehat di rasakan tidak adil kerana masih ada satu kumpulan kereta belum sampai di kolej. Di tambah pula keadaan pada waktu itu hujan lebat, dan tiba-tiba kami semua mendapat mesej di dalam kumpulan “Whatsapp” yang menyatakan mereka tersekat di luar pagar UM disebabkan oleh banjir kilat yang melanda. Diriku hanya mampu berdoa pada waktu itu agar mereka selamat sampai di kolej dengan jayanya. Mereka memberitahu bahawa kereta mereka tidak dapat meredah banjir tersebut. Akhirnya penantian itu berakhir apabila hujan semakin reda dan mereka selamat tiba di kolej.


Kami diberi masa sehingga pukul 9 malam untuk berkumpul di “UM Central”. Kami budak-budak kolej 8 dikehendaki untuk membawa baju-baju untuk diberi kepada homeless di sana. Walaupun baju-baju tersebut banyak untuk diangkut, namun hasil kerjasama baju-baju tersebut selamat sampai ke destinasi. Kali ini homeless kami dibuat di Masjid Jamek. Kami dikehendaki untuk tido di masjid tersebut kerana aktiviti memberi makanan kepada golongan gelandangan ini bermula jam 5.00 pagi. Apabila tepat jam 9 malam, jadual diubah untuk kami berkumpul di stesen lrt Kerinchi. Setelah sampai di Kerinchi, kami menunggu budak-budak kolej 5 untuk bergerak bersama. Beberapa minit kemudian, keputusan dibuat untuk kami bergerak dahulu disebabkan budak-budak kolej 5 akan sampai lewat sedikit. Akhirnya dalam keadaan yang penat, kami sampai di masjid Jamek. Indah mimpi dari rupa, kami mengharapkan dapat tido di dalam masjid yang beralaskan karpet tetapi kami diberi tido di dalam bilik mesyuarat. Hal ini kerana faktor keselamatan. Bagiku ini bukan pengalaman yang pertama kerana sudah terbiasa menghadapinya. Diriku hanya mampu mengucapkan syukur kerana sekurang-kurangnya kami dapat tido di dalam bilik yang berhawa dingin berbanding budak lelaki yang hanya beralaskan lantai masjid tanpa kipas angin dan bertemankan nyamuk. Beberapa minit kemudian, setelah tidak mempunyai tenaga untuk bersengkang mata, kami pun mengambil keputusan untuk tido.


Kira-kira pukul 5 pagi kami semua dikejutkan dari tido. Semasa turun dari bilik mesyuarakat, kami melihat sudah ramai pihak NGO sedang membungkus makanan dan air. Tanpa melengahkan masa, kami pun turut membantu mereka apa yang patut. Oh lupa untuk memberitahu, bagi aktiviti homeless kali ini kami menyertainya bersama pihak NGO. Hal ini kerana faktor keselamatan. Pihak kami tidak ketinggalan menyusun baju-baju untuk diberikan kepada para gelandangan tersebut. Setelah siap membungkus dan menyusun kami dipanggil untuk diberi sedikit taklimat. Kami juga diberi nasihat Do’s and Don’t’s oleh pihak NGO tersebut. Antaranya ialah:-
-Tidak memberi sumbangan dalam bentuk wang atau maklumat diri kepada gelandangan yang dijumpai 
-Tidak bertanyakan soalan yang sensitif. Hal ini kerana, mereka yang menjadi gelandangan ada yang mepunyai sebab tertentu seperti tidak mampu untuk menyewa bilik walaupun mereka bekerja di Kuala Lumpur.
-Tidak mengambil gambar mereka dengan cahaya flash yang akan menganggu tido mereka. 
-Layan mereka dengan penuh kasih sayang bukan dengan kebencian.
Setelah segala azimat nasihat diberikan kepada kami, kira-kira pukul 6.20 pagi kami pun bergerak untuk mengagihkan makanan kepada golongan gelandangan tersebut. Tidak lama dalam beberapa minit kami berjalan, kami nampak tempat golongan gelendangan tersebut. Kekadang rasa sayu di hati melihat mereka tido di tepi kedai-kedai hanya beralaskan kotak. Pengajaran yang dapat ku simpulkan di sini ialah bersyukurlah dengan apa yang ada pada kamu sekarang. Kekadang kita rasa kita tidak mempunyai wang namun kita masih mempunyai tempat untuk tinggal. Kira-kira dalam setengah jam kami berlegar mengagihkan makanan, kami pun mengambil keputusan untuk kembali ke tempat asal. Semasa mengagihkan makanan, kami dapat melihat mereka berasa gembira dengan apa yang diberikan. Semoga itu dapat meringankan bebanmu wahai gelandangan. Manakala di tempat masjid tersebut, kami dapat melihat mereka sedang memilih pakaian-pakaian yang disusun di atas tikar. Terdetik di hatiku,”Sesungguhnya semua rezeki yang ada di atas bumi ini hanyalah milik Allah. Kita hanyalah manusia biasa yang tiada apa-apa.” Setelah selesai semua aktiviti pengagihan tersebut. Kami pun diagihkan sarapan pagi. Masing-masing duduk di atas tikar untuk menjamu selera dan membentuk satu bulatan yang panjang. Satu suasana yang seronok untuk dinikmati dan satu sunnah yang bagus untuk diamalkan. Tidak lama kemudian, diadakan sesi berkongsi dan sesi suai kenal bersama pihak NGO tersebut setelah kami selesai makan. Alhamdulillah,setelah selesai mengemas tempat tersebut,kami pun mengadakan sesi bergambar. Selesai sudah aktiviti ke-4 kami dalam program jalinan masyarakat ini. Tidak lupa ucapan terima kasih bagi pihak masjid Jamek yang membenarkan kami untuk bermalam di sana dan pihak NGO yang tidak segan silu menerima kami untuk menyertai mereka. Seterusnya,hanya menunggu aktiviti homeless ke-2 bagi mengakhiri program kami ini.



SEKIAN






No comments:

Post a Comment